Nepal : Annapurna Base Camp - Phedi ke Pothana

September 08, 2014

*sambungan dari sini


Hari Pertama 
Mula/Tamat : Phedi ke Pothana 
Ketinggian : 1,100m - 1,900m
Tempoh Pendakian : 4.5jam

Hari ini merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh kami semua kerana pagi ini kami akan mendaki Annapurna. Tapi apa yang berlaku ialah van kami tiba lewat, hampir 15 minit menunggu baru nampak kelibat. Dalam pada masa yang sama, Milon iaitu salah seorang daripada porter yang diupah muncul. Kami segera menyumbat barang-barang ke dalam van dan memulakan perjalanan ke Phedi yang terletak kira-kira sejam dari Pokhara. Di pertengahan jalan kami berhenti untuk mengambil seorang lagi porter iaitu Shiva.

Sebelum aku teruskan, biar aku bercerita secara ringkas tentang kedua-dua porter ni. Mereka ialah Milon dan Shiva. Milon ini seorang yang pendiam manakala Shiva pula sebaliknya. Shiva lebih banyak berinteraksi dengan kami sebab dia lebih mahir berbahasa Inggeris berbanding Milon. Persamaan mereka ialah masing-masing berusia dalam lingkungan 20an. Mereka juga masih menuntut di salah sebuah universiti tempatan. Kadangkala mereka terpaksa ponteng kuliah untuk mencari wang dengan mengambil upah menjadi porter secara sambilan. Aku tak dapat nak pastikan sama ada fakta di atas betul atau salah sebab kami percaya je apa yang diaorang cakap. But on good notes, kedua-dua porter ini telah memberikan servis yang baik walaupun masih beginner.

#1 - Milon (L) dan Shiva (R)

Dalam pendakian ini kami memilih Phedi sebagai starting point dan Nayapul sebagai ending point. Kebanyakkan orang bermula di Nayapul tapi kami memilih sebaliknya. Alasan kami sebab pemandangan dari Phedi lebih menarik. Dari trek ini juga kita boleh nampak Fish Tail atau "Machapuchere". Kekurangan trek Nayapul ialah jenis tanah merah (laluan 4x4). Kebanyakan pendaki akan cheat di sini dan naik 4x4 hingga ke Syauli Bazar. Pada pendapat kami kalau nak cheat biarlah selepas selesai ABC. Sebab bila sampai di Syauli Bazar kita boleh naik 4x4 terus ke Pokhara (bypass Nayapul).

*kalau tak faham dengan penjelasan di atas boleh rujuk elevation map di bawah.

(click to enlarge) ABC's elevation map 

Kami tiba di Phedi setengah jam ke pukul 9. Suasana di sini agak lengang. Mungkin ramai yang sudah mendaki seawal jam 7 pagi. Dari jauh kelihatan beberapa orang pendaki sedang menuruni lereng-lereng bertangga. Masing-masing kelihatan ceria sebab sudah berjaya menamatkan pendakian.

Tanpa membuang masa kami buat warm-up dan bersiap-sedia untuk mendaki. Tapi sebelum itu kami baca doa selamat memohon semoga pendakian ini berjalan dengan lancar, Insya Allah.
#2 - rare kalau dapat naik bumbung
#3 - bikin capati
#4 - warung tepi jalan
#5 - starting point di seberang jalan
#6 - usaha tangga kejayaan
#7 - berhenti sekejap melayan pemandangan. boleh nampak warung di seberang jalan
Dugaan pertama di Phedi ialah seawal permulaan trek lagi kami sudah mendaki tangga. Walaupun benci tapi ini sebenarnya lebih baik dari berjalan di atas tanah merah yang panas dan berdebu. Kawan-kawan yang lain sudah lama meninggalkan aku. Tapi aku tak keseorangan sebab kedua-dua porter ada di belakang. Mereka pun agak perlahan sebab terpaksa membawa beg kami yang sarat. Maka setelah berhempas pulas akhirnya sampai juga aku di atas. Aku lihat kawan-kawan yang lain semuanya sedang duduk bersandar melepaskan lelah. Kami mengisi perut dengan memakan sedikit biskut dan membasahkan tekak.

Perjalanan ini masih lagi jauh kerana tujuan kami ialah untuk bermalam di Pittam Duerali. Kalau dilihat pada elevation map yang terdapat di atas, kami perlu berjalan selama 4.5jam lagi untuk ke sana. Tapi oleh kerana kami mendaki secara menyongsang, maka tempoh perjalanan akan bertambah sebanyak 25%-50%. Meskipun bertambah tapi ia tak begitu ketara sebab secara kasar kami dapat menyelesaikan pendakian mengikut waktu cadangan walaupun trek yang dipilih adalah menyonsang. 

Tanpa membuang masa kami teruskan perjalanan yang masih berbaki. Sebelum sampai di Pittam Duerali (memang nak pitam jugak ikut trek ni hahaha), para pendaki akan menempuh beberapa buah perkampungan iaitu Dhampus dan Pothana. Pemandangan di sepanjang trek ke Dhampus adalah menarik kerana di sini kita akan melalui beberapa buah perkampungan. Tempoh perjalanan kami juga menjadi lambat sebab banyak diselang-selikan dengan aktiviti mengambil gambar. Pada pendapat aku pemandangan sebegini cuma sekali saja dapat kita lihat di sepanjang trek jadi tak salah kalau kita menikmatinya bersungguh-sungguh.

#8 - perkampungan Nepal
#9 - saujana mata memandang
#10 - petani sedang menabur benih tanaman
#11 - mereka masih menggunakan tenaga kerbau untuk menggemburkan tanah

Trek dari Phedi ke Dhampus seingat aku kebanyakannya adalah tangga. Di awal starting point lagi kita sudah berhadapan dengan deretan tangga yang hazab disebabkan lereng mendaki yang curam. Tapi selepas itu tangga-tangga di kawasan kampung lebih santai dan berselang-seli dengan trek berbatu dan berpasir yang mendatar.

#12 - petak-petak sawah di pergunungan
#13 - seorang tua di rumah usang (macam tajuk cerita hantu je)
#14 - kanak-kanak Nepal suka bila ternampak orang asing
#15 - si kecil ini juga
#16 - ikut sini kalau ke ABC
#17 - gadis Nepal
#18 - rumah kampung

Sewaktu melalui perkampungan ini kami berselisih dengan beberapa orang penduduk kampung dan kanak-kanak kecil yang bermain di luar rumah. Ada beberapa orang kanak-kanak lelaki yang meminta pen daripada kami dan tanpa berfikir panjang aku terus bagi. Tapi selepas itu aku diberitahu yang pelawat tidak dibenarkan memberi apa-apa bentuk barang kepada mereka. Aku tak pasti kenapa peraturan sebegitu dicipta padahal lebih baik bagi pen daripada gula-gula, sekurang-kurangnya boleh digunakan untuk menulis. 

Kami meneruskan lagi perjalanan sehingga ke Dhampus. Di sini kami berhenti untuk melapor diri di check point. Perkara ni sangat penting untuk merekod maklumat para pendaki terutamanya bagi mereka yang pergi secara bersendirian (manalah tau kalau tak keluar langsung dari hutan).

#19 - hikers check point @ Dhampus

Di sinilah tempat kami disapa oleh seorang porter yang boleh berbahasa Melayu. Dia dapat mengagak kami dari Malaysia bila terdengar kami berborak. Katanya dulu dia pernah bekerja di Malaysia tapi dah balik ke Nepal sebab tamat permit kerja. Dari riak wajahnya dia nampak sangat gembira bertemu dengan kami.

Di Nepal nama Malaysia tidak asing lagi kerana ramai di kalangan mereka yang ada saudara mara dan sahabat yang sedang bekerja atau pernah bekerja di negara kita. Barangkali ada sesuatu yang membuatkan mereka suka dengan Malaysia kerana begitulah reaksi mereka setiap kali bertemu dengan orang-orang kita. 

#20 - permainan kriket sangat popular di Nepal
#21 - tak taulah kuda sape yang terlepas tapi yang pasti memang jinak
#22 - alololo mai sini ai lapkan peluh yu

Dari Dhampus ke Pothana trek lebih landai walaupun tak sepenuhnya serta diselang-selikan dengan bukit-bukit kecil. Di sini juga tak kelihatan kawasan perkampungan, cuma hutan yang sedikit tebal. 

Ada satu simpang yang agak mengelirukan di sini tapi mujurlah porter ada bersama kami untuk menunjukkan jalan. 

Kami juga terserempak dengan seorang Sherpa perempuan yang membawa 2 orang pendaki perempuan dari Eropah. Sherpa ini kecil molek orangnya tapi nampak gagah (iron lady). Dari perbualan itu kami mendapat maklumat bahawa pendaki perempuan juga boleh mendapatkan guide perempuan jika risaukan tentang faktor keselamatan. Tapi untuk porter aku rasa pekerjaan ini rata-ratanya masih didominasi oleh kaum lelaki.

#23 - barisan porter dengan bagasi yang dibawa 
#24 - tak sampai hati menengoknya tapi apakan daya sudah itu tugas mereka

Nampaknya cuaca tidak menyebelahi kami apabila hujan turun lebat secara tiba-tiba. Kami terpaksa mempercepatkan langkah menuju ke Pothana yang tinggal cuma beberapa meter sahaja. Dengan ini rancangan asal ke Pittam Duerali terpaksa dibatalkan memandangkan tiada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa hujan akan berhenti. Kalau diteruskan juga mungkin boleh mendatangkan bahaya tambahan lagi perjalanan akan memakan masa lebih lama disebabkan cuaca yang buruk.

#25 - you're now entering Pothana
#26 - teahouse yang menjadi ending point kami pada hari itu

Di sini terdapat beberapa buah teahouse tapi disebabkan hujan yang melampau jadi kami terus memilih salah satu yang terletak di hadapan. Aku dah lupa nama tempat ni tapi rata-ratanya menawarkan harga bilik yang sama. Seperti mana yang pernah aku sebut sebelum ini, harga bilik dan harga makanan, semuanya akan menjadi semakin mahal bila makin hampir ke puncak. Walaupun mahal tapi kenaikannya tak ketara dan masih lagi mampu dibayar.

Bagi yang tertanya-tanya adakah kami buat advance booking dengan teahouse ini, jawapannya tidak. Kami cuma walk-in saja di mana-mana teahouse yang ada. Kebetulan kami pegi pada waktu low season maka tempat penginapan tak jadi masalah. 

#27 - base rate untuk semalam di Pothana
#28 - triple bedroom common. selesa
#29 - makan untuk tenaga, tenaga untuk hidup
#30 - hujan ais di Pothana

Inilah pertama kali dalam hidup aku melihat hujan ais. Sakitnya boleh tahan sebab butir ais yang halus dan keras. Rupa-rupanya ramai pendaki yang terkandas di Pothana disebabkan hujan ais yang lebat. Mujurlah kami sempat sampai di Pothana, kalau dah separuh jalan ke Pittam, alamatnya semua akan pitam sebab terpaksa mendaki dalam keadaan basah lencun. 


*bersambung...
.

Read more...

Nepal : Hari Terakhir Sebelum Bermula Pendakian

July 10, 2014

*sambungan dari sini.
*sesiapa yang berminat untuk merasai pengalaman white water rafting di Sg Padas pada 23 Ogos 2014 ini sila pm ke fb BackpackerBusuk, terima kasih.


Sudah masuk hari kedua kami berada di Nepal dan pagi ini kami akan meneruskan perjalanan ke Pokhara. Aku, K dan Ila bangun awal jadi selepas subuh kami naik ke rooftop untuk menikmati panorama matahari terbit. Pagi di sini tenang, tiada bunyi kereta dan motor memecah keheningan seperti kebiasaan yang berlaku pada hari bekerja di Kuala Lumpur.

Aku menghembus nafas lega. Sudah lama aku menunggu peluang untuk pergi bercuti. Sebenarnya otak aku dah tepu sebab asyik menghadap kerja yang menimbun. Paling kurang 3 bulan sekali, tak kisah sama ada di dalam atau pun di luar Malaysia. Sekadar mencari perspektif baru dan motivasi. Seperti orang lain aku juga bekerja keras demi memenuhkan tabungan. Hobi berjalan sememangnya mahal, tapi murah kalau kena pada tempatnya. Walau belum pernah lagi sampai ke benua Eropah, benua Asia-Barat, benua Afrika dan benua Amerika, tapi aku tetap bersyukur dengan apa yang aku kecapi setakat hari ini. Bagi aku kita tak perlu terikut-ikut dengan cara orang lain kerana kemampuan kita berbeza. Begitu juga aku yang mengambil masa bertahun-tahun untuk meneroka sampai ke tahap ini.

menikmati panorama matahari terbit dari bumbung guesthouse

Berbalik pada cerita. Sebenarnya aku suka pergi ke negara seperti Nepal sebab ia membuatkan aku rasa bersyukur dengan apa yang ada. Kalau nak tahu di Nepal bekalan elektrik sentiasa terputus/dipadamkan terutamanya pada waktu siang. Mereka juga banyak bergantung kepada generator untuk menjana kuasa elektrik. Lazimnya perkara seperti ini berlaku di pulau-pulau, tapi di sini biasa.

Lagi satu pasal jalan raya. Jangan mimpi nak sampai cepat sebab jalan raya di sini bukanlah kategori highway. Selain kondisi yang kurang memuaskan, ia agak sempit dan berbengkang-bengkok disebabkan faktor muka bumi Nepal yang bergunung-ganang. Walaupun pemandangan yang disajikan cantik tapi ia agak menggerunkan sebab rata-ratanya melalui tebing curam. Jadi disebabkan faktor-faktor ini maka tidak hairanlah kalau perjalanan sejauh 200km boleh memakan masa sehingga 6-7 jam.

kedai bakeri yang juga merupakan sebuah restoran

Hampir 7pg barulah kami meninggalkan rooftop untuk mencari sarapan. K bagitau ada sebuah kedai bakeri yang terletak berhampiran guesthouse tapi bila kami sampai kedainya masih tutup. Tak berputus asa kami terus mencari dan bertemu sebuah kedai bakeri yang di luarnya tergantung sebuah papan tanda bertulis "Illy" iaitu sebuah jenama kopi. Barangkali foto di atas boleh dijadikan petunjuk. Dari jauh aku tersenyum lebar sebab dapat menangkap aroma kopi yang baru sahaja di brew. Seperti tagline, "Hari yang hebat bermula dengan secawan kopi", maka aku berharap semoga hari ini adalah permulaan yang baik untuk misi ABC.

Selesai bersarapan kami pun beransur. Aku beli sedikit pastry dan vegetarian pizza untuk bekalan semasa perjalanan nanti. Tapi sebelum sampai ke guesthouse kami singgah di sebuah kedai yang baru saja dibuka. Aku memilih beberapa helai pashmina dan sewaktu membayar barulah aku tersedar yang handphone aku dah hilang. Aku kaget dan terus memeriksa poket baju dan seluar. Alamak takde! Aku mula panik dan terus mencari kalau-kalau terjatuh tetapi hampa.

menu sarapan pagi dan sebahagian pastry yang terdapat di sini

Aku meninggalkan kedai dan berlegar-legar di sepanjang jalan sambil mencari di dalam longkang dan kaki lima. Kedai-kedai yang baru dibuka pun aku tanya tapi semuanya hampa. Aku kembali semula ke kedai bakeri dan mencari. Aduh, parah sangat ni! Sepanjang hayat aku inilah kali pertama dan aku tak pernah hilang benda sepenting ini. Kawan-kawan cuba mendail nombor aku tetapi gagal. Dalam hati mula timbul perasaan syak wasangka dengan orang sekeliling tapi aku tiada bukti. Aku beristighfar banyak-banyak minta disejukkan hati dan lama kelamaan perasaan marah ini bertukar menjadi pasrah. Aku tak tahu di mana salah silapnya. Boleh jadi Tuhan nak menduga aku. Kemudian aku terfikir alangkah beruntungnya aku kerana kejadian ini berlaku semasa aku travel berkumpulan. Bayangkan kalau aku sendirian, bagaimanakah agaknya?

Tanpa membuang masa aku terus pulang ke guesthouse. Bila tiba di guesthouse aku lihat sebuah van sudah menunggu untuk membawa kami ke Pokhara. Sepatutnya kami sudah beredar sejak jam 9 tadi tapi apakan daya. Aku minta maaf kepada semua kerana melengahkan masa. Apa yang berlaku ini sememangnya di luar kemampuanku.

Maka hampir jam 9.30pg barulah kami meninggalkan guesthouse. Dengan hati yang berat aku lihat pekan Thamel sayup-sayup hilang dari pandangan. Perasaan aku bertambah sedih kerana takkan kembali lagi ke sini dan sebaliknya akan terus ke India setelah selesai mendaki. Walau apapun aku berharap biarlah permulaan yang "suey" ini tak berlanjutan sehingga ke Pokhara dan seterusnya India. Biarlah selepas ini semuanya baik-baik belaka.

pagi di pekan Thamel, sebelum kejadian hilang handphone

Perjalanan dari Kathmandu ke Pokhara mengambil masa lebih kurang 6 jam untuk sampai. Kami menyewa sebuah van dari guesthouse. Oleh kerana kami tak terikat dengan pakej agensi jadi semuanya kami buat sendiri. Sewa sebuah van untuk perjalanan sehala dari Kathmandu ke Pokhara adalah USD155 bagi jenis 11 seater. Pada waktu ini kami cuma berenam (tak termasuk seorang driver), jadi ia sangat selesa dan luas untuk kami menyimpan barang keperluan hiking dan backpack setiap seorang.

Tapi kalau budget agak terhad boleh naik tourist bas. Tak silap aku harganya lebih kurang NPR700/USD7 seorang. Kalau bas biasa kosnya jauh lebih murah sebab takde aircond. Tempoh perjalanan agak panjang di antara 6-7 jam bergantung kepada seberapa kerap ia berhenti.

askar Nepal sedang berehat. sebelum tu nampak sekumpulan mereka berkawad kaki di atas highway
Sepanjang perjalanan aku banyak termenung ke luar tingkap. Aku buntu memikirkan bagaimana nak berhubung dengan N dan keluarga. Mesti diaorang risau bila takde update dari aku. Mesti diaorang pikir ada benda buruk jadi kat aku. Aku tak suka bila ada perasaan macam ni. Susah juga bila takde handphone. Tak kisah jenis handphone apa sekalipun, yang penting boleh buat/terima call dan mesej pun jadi lah.

Sampai di R&R aku termenung lagi. Waktu ni Ila tunjuk sekeping gambar yang diambil secara tak sengaja dari kamera. Di dalam gambar tersebut kelihatan handphone aku sedang "terbaring" di atas jalan berhadapan kedai bakeri. Hati aku jadi runtun. Walhal aku lalu lalang depan kedai tu 2-3 kali. Aku masih ingat sebab masa ni kami sedang ralit tengok kereta Kelisa yang lalu di hadapan kedai. Jakun katanya sebab nampak kereta Malaysia. Hmmm...

highway Nepal dan pemandangan yang ditawarkan di sepanjang perjalanan
Kami menyambung semula perjalanan ke Pokhara. Aku tak pasti berapa kali aku bangun dan tidur tapi masih jugak tak sampai. Mood aku yang memang dah kelaut sejak dari awal langsung tak membantu walaupun pemandangan di luar tingkap memukau mata. Sekali-sekala bila melalui sebelah sungai boleh nampak bot rafting. Tapi aku tak pasti level berapa cuma dari mata kasar nampak macam kurang mencabar. Barangkali sebab sungainya lebar, rapid tak banyak dan jarak di antara rapid yang jauh. Pendek kata boleh habiskan sebungkus kuaci sebelum jumpa rapid.

Sebenarnya aku kurang berkenan dengan cara orang di sini memandu. Mereka seboleh-bolehnya nak memotong walaupun di selekoh tajam. Paling mencemaskan bila setiap kali berselisih dengan kenderaan dari hadapan mereka seakan meluru dan sangat rapat. Aku rasa kalau kami tak membebel mungkin driver ni naik sheikh sebab gaya dia macam orang tak pernah jumpa stereng.

Kami tiba di Pokhara sekitar jam 5ptg dan terus mencari guesthouse yang direkomendasi oleh Trip Advisor. Kami memilih Amrit Guesthouse atau nama lainnya Lake City Hotel yang terletak di lakeside yang juga merupakan kawasan CBD (central business district) Pokhara. Aku takde gambar entrance guesthouse tapi landmark yang boleh digunakan ialah mesin atm Standard Chartered dan 2 travel agency yang menggunakan nama "Amrit" yang terletak berhadapan guesthouse dan di hujung jalan sebaris dengan guesthouse. Apapun boleh cuba nama Lake City Hotel sebab ia adalah nama baru guesthouse tersebut yang telah bertukar pengurusan.

Amrit Guesthouse atau Lake City Hotel (sumber : Google)
Di sini kami menginap selama 1 malam sebelum bertolak ke Phedi pada keesokan hari. Rate penginapan untuk sharing basis 3 orang ialah NPR800/USD8 sebilik. Kami juga minta pihak guesthouse menguruskan permit mendaki TIMS dan ACAP serta 2 orang porter yang akan berkhidmat dengan kami selama 9 hari. Kalau nak buat permit sendiri pun ok, boleh terus ke Nepal Tourism Board yang terletak di Pokhara (Pardi Damside).

Berikut ialah panduan harga permit mendaki dan upah porter :
1. Permit TIMS dan ACAP = NPR2000/USD20 setiap satu
2. Upah seorang porter = USD15 sehari (kami dapat USD12 sehari disebabkan off season)

contoh permit ACAP
contoh permit TIMS

Untuk permit TIMS dan ACAP, pihak guesthouse offer USD38 (instead of USD45) sebab amik porter dengan diaorang. Selain itu pihak guesthouse juga membantu menguruskan pengangkutan dari Pokhara ke starting point (Phedi) dengan kos NPR2000/USD20 bagi sebuah van.

Pada malam itu kami berenam makan di sebuah restoran vegetarian yang terletak tidak jauh dari guesthouse. Sewaktu menunggu makanan dihidangkan aku sempat ke kedai outdoor yang terletak bersebelahan dan bertemu seorang pendaki dari Malaysia yang baru selesai melakukan ekspedisi solo. Orangnya masih muda, mungkin di pertengahan 20an. Beliau banyak berkongsi tips dan maklumat berkaitan pendakian dan melalui penceritaannya, puncak base camp masih lagi tebal dilitupi salji. Wah bestnya! Dah lama aku tak main salji sejak 3 tahun yang lepas, mesti seronok.

Jadi selepas makan malam kami terus pulang ke guesthouse untuk mengemas barang. Aku, Ila, K dan TW berkongsi 2 orang porter, manakala yang lain masing-masing pikul sendiri. Mana barang-barang yang kami tak bawa untuk mendaki ditinggalkan di dalam stor guesthouse for free of charge.


Bersambung....
.

Read more...

  © Copyright Since 2010 | Backpacker Busuk

Back to TOP