Made In China : Xian (Part 6)

June 27, 2012

Yehh!! Aku dah balik. Alhamdulillah, perjalanan selama 6 hari dari Saigon ke Phnom Penh berjalan dengan lancar. Banyak pengalaman yang telah diperoleh dan banyak gambar yang telah dipetik. Insya Allah ada masa aku akan kongsikan cerita dan gambar-gambarnya di sini.

Kita teruskan dengan saki-baki travelog China. Ape korang pikir ni cd rosak ke? Chet!

******

Setelah selesai melawat ketiga-tiga pit tersebut kami mengambil keputusan untuk mengisi perut. Cuaca sejuk begini memang kerap rasa lapar. Kami berpecah dan berjanji akan bertemu semula dalam tempoh sejam. Kedua-dua Mat Sepanyol itu pegi ke restoran Bak Kut Teh yang berhampiran manakala aku lebih selesa mengalas perut dengan bekalan roti yang disapu tuna.

Aku melabuhkan bontot di atas kerusi batu sambil memerhatikan manusia yang lalu-lalang. Agak sukar mencari port yang selesa sebab tempat ini agak lapang dan rata-rata pokoknya gonjeng sebab baru habis musim sejuk. Sedang aku menikmati roti tuna tiba-tiba suasana menjadi hingar disebabkan adegan pukul-memukul di antara 2 orang lelaki. Dari gaya mereka aku dapat conclude yang peniaga tu marah sebab pelanggan tu tak jadi beli barang yang ditawar. Moral of the story, mungkin peniaga di Petaling Street berasal dari sini. Hehe.

Sejam kemudian kami bertemu semula di kaunter tiket dan tak jauh dari situ ada sebuah bas yang menunggu untuk membawa pelancong ke makam Qin Shi Huang. Seperti yang penah aku sebut dalam entry dulu, tiket ke sini termasuk dengan tiket ke Terracotta Army. 

bas percuma ke makam Qin Shi Huang
Di sepanjang perjalanan menuju ke makam Qin Shi Huang aku ternampak beberapa buah kedai yang menjual ukiran patung Terracotta yang sebijik sebijun macam dalam pit. Langsung aku terpikir, entah-entah?! Yelah, apa je yang tak mustahil di China? Boleh dikatakan semua benda dorang buat. HAHAHA

Lima minit kemudian bas pun berhenti di hadapan pagar besar. Barangkali ini pintu masuk ke makam Qin Shi Huang. Kesemua penumpang turun dan berjalan menuju ke pintu berpalang seperti di bawah. Memadangkan kami adalah kumpulan pelancong yang terakhir maka pemandu bas bagi tempoh sejam untuk kami explore tempat ni.  

suasana lengang di pintu masuk ke makam Qin Shi Huang. mungkin sebab dah lewat petang
Sejurus melepasi pintu berpalang aku masih tak nampak apa-apa kecuali kawasan lapang yang tak ubah macam taman rekreasi dengan beberapa buah laluan seakan-akan trek jogging. Aku mengikut saja orang ramai di hadapan sehinggalah terjumpa batu besar yang ada chop mohor UNESCO world's heritage.

tomb of Qin Shi Huang - UNESCO world's heritage

Aku masih lagi positif dan meneruskan langkah melalui laluan panjang yang seolah-olah tak berpenghujung. Iskk, mana makamnya ni??? Aku merungut sendirian sambil menahan kaki yang mula berdenyut-denyut.

aku syak ini antara salah satu punca kenapa orang China jalan macam lipas kudung

Hampir lima minit berjalan aku masih tak nampak tanda-tanda makamnya. Orang ramai mula memanjat tebing di sebelah kiri (gambar di atas). Short cut gamaknya?! Tanpa berfikir panjang aku dan kedua-dua Mat Sepanyol itu pun mengikut. Rupa-rupanya memang sah itu adalah jalan short cut.

menuju puncak!!

Kami sampai ke satu dataran luas (gambar di atas) yang di atasnya terdapat memorial untuk memperingati Maharaja Qin. Menurut sejarah, diceritakan sewaktu Maharaja Qin mangkat, perkuburan baginda telah ditimbus dengan tanah sehingga membentuk sebuah bukit. Kemudian di atas bukit itu ditanam dengan pokok supaya takde sesiapa pun tahu tentang kewujudannya.

"When the First Emperor ascended the throne, the digging and preparation at Mount Li began. After he unified his empire, he sent 700,000 people to work. They dug down deep to underground springs, pouring copper to place the outer casing of the coffin. Palaces and viewing towers housing a hundred officials were built and filled with treasures and rare artefacts. Workmen were instructed to make automatic crossbows primed to shoot at intruders. Mercury was used to create a hundred rivers and the ocean, and set to flow mechanically. Above, the heaven is depicted, below, the geographical features of the land. Candles were made of "mermaid"'s fat whose light would not extinguish for a long time. The Second Emperor said, "It is inappropriate for the wives of the late emperor who have no sons to be free", ordered that they be put to death, and many died. After the burial, it was suggested that it would be a serious breach if the craftsmen who constructed the tomb and knew of its secrets were to divulge those secrets. Therefore after the funeral ceremonies had completed, the inner passages and doorways were blocked, and the exit sealed, immediately trapping the workers and craftsmen inside. None could escape. Vegetations were then planted on the tomb mound such that it resembled a hill"

Atas faktor keselamatan maka perkuburan Maharaja Qin tidak dibuka sebab para pengkaji masih tak jumpa kod rahsia untuk masuk ke dalam.

Kompleks pemakaman Maharaja Qin ini tersangatlah besar dan lorong pejalan kaki seperti di bawah umpama sebuah "maze" dan sukar untuk meneka apa yang menunggu di penghujung setiap satunya. Kami mendapati laluan bertangga di hadapan dataran untuk ke puncak bukit telah pun ditutup. Aku difahamkan dulu laluan bertangga itu dibina untuk memudahkan pelancong naik sampai ke puncak tapi entah kenapa sewaktu ke sini laluan itu ditutup dan dibiarkan semak.

Kami nekad mencari laluan alternatif untuk naik ke puncak dan setelah berjalan hampir 10 minit akhirnya kami bertemu laluan kecil di sebalik hutan. Kami positif dan mahu mencuba laluan tersebut, mungkin ia akan membawa kami ke puncak? Aku pula takde pilihan melainkan terpaksa mengikut walaupun hati terasa berat.

laluan berjela-jela yang mencabar mental dan fizikal
mendaki pulak

Kami bertiga menyusuri laluan mendaki yang membelah hutan. Waktu ini aku teringat pengalaman menempuh hutan kecil di Great Wall. Aku tersengih sendiri sebab tak sangka peristiwa yang sama berulang lagi di lain lokasi. 

Aku berjalan paling belakang sebab sakit kaki. Setelah lima minit mendaki akhirnya kami menemui binaan berbatu yang seakan-akan sebuah platform. Walaupun payah, kami cuba untuk mendaki bahagian tembok yang tinggi dan akhirnya sampai di satu dataran. Banyak pokok yang tumbuh meliar di situ, tak ubah macam set filem seram. Mungkin bila-bila masa saja hantu lompat-lompat bakal muncul dari celahan pokok. Sumpah kalau sorang confirm aku tak naik sampai ke atas tapi nasib baik aku jumpa 2 orang Mat Sepanyol ni. Alang-alang sesat biarlah berjemaah, itu lebih baik dari sesat sorang diri.

Kami merapati sebuah monumen yang terletak di tengah-tengah dataran. Agak sukar membaca apa yang tertulis di atasnya sebab bukan dalam bahasa roman. Mungkin monumen ini menceritakan sesuatu berkenaan Maharaja Qin, agaknye. Atau mungkin batu ini sebagai penanda aras letaknya makam Maharaja Qin? Boleh jadi jugak. Cuma yang pasti kat bawah tempat aku berdiri ini tertanamnya sejarah seorang maharaja yang telah menyatukan seluruh kerajaan China pada suatu ketika dahulu. Cewah, ayat tak menahan!

tu diaaa!! punye letih aku mendaki alih-alih jumpa batu??? sedeh T__T
alang-alang penat terjelir lidah mendaki bukit maka wajiblah simpan bukti
tangga ini menghala ke bahagian dataran tapi nampak seperti telah dimusnahkan. kenapa ek? 
pemandangan dari puncak makam Maharaja Qin

Setelah berpuas hati dengan apa yang ditemui maka kami pun turun semula ke bawah melalui laluan berbukit yang sama. Kami meneruskan perjalanan mencari sesuatu yang menarik untuk dilihat dan bertemu Pit 0006. Kalau dari luar bangunan ini nampak seperti sebuah piramid yang dibelah separuh tapi siapa tahu di dalamnya tersimpan sebuah khazanah?

pit 0006
lebih kurang macam Pit 3 tapi bilangan patung Terracotta cuma ada 5 buah
4 daripada 5 buah patung Terracotta yang terdapat dalam Pit 0006
barangkali ini pemandu kereta kuda
officers
tulang 9 ekor kuda yang ditanam hidup-hidup

Apa yang menyentuh perasaan aku berkenaan tempat ini ialah terdapat 9 ekor kuda yang di tanam hidup-hidup. Bayangkan macam mana seksanya kena tanam hidup-hidup? Penemuan ini adalah berdasarkan tulang-temulang di bahagian belakang pit. Kuda-kuda yang malang ini disusun dalam sebuah barisan dengan bahagian kepala yang menghadap ke utara dan bahagian ekor yang menghadap ke selatan. Kami meninggalkan Pit 0006 dan meneruskan perjalanan mencari pit yang seterusnya. Agak sukar untuk meneka apa yang menunggu di hadapan sebab kawasan ini terlalu luas.

fobia oii nampak jalan camni...mental dibuatnya
orang lain sedap jalan laju, aku jalan terhencot-hencot
pit ini masih belum dibongkar tapi dah ada pelan lantai. canggih tak?? teknologi satelit kot

Di pertengah jalan kami terserempak dengan sesuatu yang seakan-akan bukit yang telah ditarah. Di hadapan bukit kecil ini terdapat sebuah pelan lantai dan sedikit penerangan tentang apa yang sedang kami lihat. Difahamkan bahawa di bawah bukit ini terdapat sebuah pit yang masih belum dibongkar. Mungkin dalam 5 tahun lagi para pelancong akan berpeluang melihat apa yang tersimpan di bawahnya. 

Kami menjengah ke lokasi seterusnya iaitu Pit 9901 yang menempatkan patung performers/entertainers. Ini dapat dikenalpasti berdasarkan pakaian yang dipakai oleh mereka. Patung-patung ini juga tidak mengenakan sebarang perisai dan ini jelas menunjukkan bahawa mereka bukanlah patung tentera seperti yang terdapat di Pit 1, 2 dan 3. Para pengkaji sejarah berpendapat patung-patung ini dicipta untuk menghiburkan maharaja di alam barzakh...erkk?

pit ini menempatkan patung entertainer/penghibur
boleh jadi john travolta dapat ilham dari patung ni
masih dalam proses carigali

Jam hampir menganjak ke pukul 6 petang dan ini bermakna kami harus beransur dengan segera memandangkan bas yang menunggu kami akan akan bertolak bila-bila masa. Pastinya aku taknak tertinggal bas terakhir di tempat macam ni jadi haruslah aku melupakan sakit kaki dan berjalan macam lipas kudung. Bila sampai di pintu besar nampaknya bas sudah pun menunggu dan tanpa membuang masa aku masuk ke dalam perut bas dan bersandar. Setelah semua penumpang naik kami pun balik semula ke kawasan perkarangan bas di hadapan kaunter tiket Terracotta Army.

Sewaktu turun dari bas kami dihampiri oleh ulat-ulat bas yang agresif. Masing-masing berebut mendapatkan pelanggan dan masing-masing mahu menurunkan harga disebabkan persaingan. Kami pun tiada pilihan dan terpaksa memilih apa yang ada memandangkan kami adalah antara saki-baki pelawat yang terakhir. Pendek kata kalau tak naik alamatnya bermalam kat tepi jalan, nak? Selepas bargain (naik bas pun boleh bargain eh?), kami pun naik bas yang termurah (5Yuan, harga asal 7Yuan) . Win-win situation la ni. 

Sepanjang perjalanan balik ke Xian aku terlelap lagi, barangkali terlalu penat sebab sejak sampai dari Beijing pagi tadi aku masih belum berehat. Tiba saja di stesen bas Xian, sekali lagi Juan mengejutkan aku. Malu sungguh. Kami turun dari bas dan mereka mengajak aku ke supermarket untuk membeli barang. Oleh kerana keletihan jadi aku mintak izin balik ke hostel dulu. Bila sampai di hostel aku tumbang untuk beberapa jam dan tersedar bila alarm berbunyi. Walaupun penat tapi aku rasa nak keluar sebab nak tengok bandar Xian di waktu malam. Selepas membersihkan diri aku menuju ke Muslim Quarter yang terletak cuma sepelaung dari hostel, lebih kurang 10-15 minit berjalan kaki jaraknya.
Bell Tower, Xian

Sungguh tak ku sangka rupa-rupanya bandar Xian agak pesat dan sibuk dengan kenderaan dan manusia yang berpusu-pusu. Aku tak merasa takut berjalan seorang diri di tengah-tengah bandar Xian sebab pada pemerhatian aku orang-orang di sini lebih suka membuat hal sendiri dan tidak terlalu curious dengan pelancong. Boleh jadi tempat ini selalu dikunjungi manusia pelbagai rupa dan warna jadi mungkin penduduk-penduduk di sini dah terbiasa melihat orang asing. 

Gambar di atas menunjukkan ikon terkenal di bandar Xian iaitu Bell Tower. Ia terletak di tengah-tengah jalan yang menghubungkan keempat-empat jalan utama, seolah-olah roundabout gitu. Macam mana nak ke Bell Tower? Ada underpass (laluan bawah tanah) yang menuju ke sini, so tak perlu bunuh diri melintas di tengah-tengah jalan yang sibuk. Apa yang ada kat Bell Tower? Dah nama pun "bell" jadi mestilah ada loceng besau kat sini. Selain itu ada persembahan muzikal dengan bayaran tertentu. Aku tak pegi ke situ sebab tak berminat. Terletak bertentangan dengan Bell Tower ialah pejabat pos besar Xian. Gambarnya kendian aku taruk.

Tak jauh dari Bell Tower ialah Drum Tower. Apa ada dalam tu? Drum barangkali. Ini pun aku tak amik port nak tengok sebab kedua-duanya lebih kurang sama. Cuma Drum Tower ini boleh dijadikan sebagai landmark untuk ke Muslim Quarter.

sambutan tahun baru masih terasa di Xian
small alley to Drum Tower & Muslim Quarter
Drum Tower, Xian
orang ramai bersesak-sesak di sekitar Drum Tower dan Muslim Quarter

Tujuan asal aku keluar pada malam ini ialah untuk ke Muslim Quarter. Kenapa? Sebab nak mencekik. Rasa macam dah lama tak makan proper food dan memandangkan makanan halal mudah diperoleh di Xian jadi aku merancang untuk mentekedarah habis-habisan. 

Ada banyak restoran halal di sepanjang Muslim Quarter, cuma bezanya ada yang alim-alim kucing (serve alcoholic drinks) dan yang betul-betul menjaga status halalnya. Aku masih berhati-hati di sini dan meminta bantuan peniaga-peniaga bertudung untuk menunjukkan kedai yang betul-betul meyakinkan. Mereka menyuruh aku ke kedai XYZ (tatau nama sebab tulisan Cina) dan sejurus masuk ke kedai ini semua mata memandang ke arah aku umpama kambing yang tersalah masuk ke kandang lembu. Silap kandang nampaknye, tapi peduli ape, aku cantek kan ada 2 eyelid. Ko hado?

Aku duduk di satu sudut dan menunggu untuk dilayan. Aku tengok mereka menolak sesama-sendiri, mungkin takut sebab tak boleh berbahasa Inggeris atau mungkin sebab muka aku dah macam rimau tak makan 100 hari. Aku pasrah. Akhirnya datang seorang waiter lelaki sambil menghulurkan sebuah papan menu. Oh deng, semua bahasa Cina. Mana la aku reti baca???!!! @__@

Aku tanya kalau-kalau ada menu bahasa Inggeris dan seperti yang dijangka takde. Kecewa di situ. Aku meminta dia bawak apa saja makanan yang bersup dan pedas sampai kena berkipas. Maklumlah tengah sejuk. Pelayan itu menganggukkan kepala dan 5 minit kemudian dia pun datang sambil menatang semangkuk mee sup dengan objek-objek putih yang terapung. Eh mende ni? Dia kata LEMAK. Peh, ni perli ke ape? Mentang-mentanglah aku kurus. Kuangajo!

sup sumbat jantung

Slurrpp! Sekali teguk memang terbako lidah dibuatnya. Berapi sungguh. Rupanya lemak tu takla lemak sangat, tapi lemak-lemak berkrim. Aku tak makan semua lemak tu sebab nak hidup lama. HAHAHA matilah, walhal jogging pun liat. Tak lama selepas tu seorang pelayan membawa seberkas sate kambing sambil berkata, "Mai beli sate kambing! Sedap! Lazat hingga menjilat kaki!". Gamaknye (memandai je aku translate). Tanpa berpikir panjang aku memanggil pelayan itu dan meminta 10 cucuk. Wah tamaknya, matilah. Tak makan lemak ko sumbat sate 10 cucuk. Uih, but honestly memang sedap gile sate kambing ni. Rasanya sebijik macam sate kambing yang penah aku balun masa ke Guangzhou 2 tahun lepas. Highly recommended!

sate kambing....memang lazat!

Bila dah kenyang barulah boleh berjalan-jalan cuci mata. Bil makan tadi termasuk air kosong tak sampai RM20, kira okla tu sebab sedap. Aku meneruskan misi jalan-jalan cari makan dan mencari sesuatu untuk dikudap. Tiba-tiba aku ternampak ramai orang sedang membeli sesuatu. Aku pun join sekaki. Tak silap aku kuih ni aku penah nampak di area Niu Jie Mosque kat Beijing. Cuma waktu tu barisan yang menunggu untuk beli kuih ni agak panjang jadi terpaksa di skip. Tapi kali ni aku jumpa lagi kuih yang sama dan pastinya aku taknak lepaskan peluang untuk mencuba. Harga untuk 5 biji cuma 2Yuan/RM1, murah kan?

sibuk beli apa tu ye?
kuih-tak-tau-nama
kena rebus dulu sebelum makan
rasanya ala-ala kuih buah melaka

Pada mulanya aku fikir kuih ini boleh dimakan terus tapi nasib baik penjual di situ sempat membaca fikiran aku. Mereka kemudian membawa aku masuk ke dalam kedai untuk menunggu sementara kuih ini di masak. Rata-rata orang di sini membeli begitu saja (mungkin rebus kat rumah) jadi sebab itu aku beranggapan kuih ini boleh dimakan begitu saja. Mujurlah kan, kalau tak mati tercekiklah aku sebab makan tepung tak masak. Fuh!

kuih lobak merah ini dibuat on the spot dan digoreng jugak on the spot
spiral potato
lagi sate kambing

Kemudian aku meneruskan lagi misi mencari makanan halal dan ternampak orang menjual sate kambing. Apa lagi, pekena sate kambing 2 cucuk. Kali ni isinya lebih besar dan harga untuk 1 cucuk ialah 10Yuan/RM5. Mesti ada yang tertanya-tanya apa yang membuatkan aku begitu teruja dengan sate kambing di China. Dari segi rasa memang langsung tak sama dengan sate kambing di Malaysia. Sebabnya rempah yang digunakan untuk memanggang sate ini ialah serbuk cili dan sedikit seasoning manakala sate di Malaysia dipanggang dengan minyak yang disapu dengan daun serai. Lagi satu, sate di sini tak berkuah, boleh makan terus lepas dimasak. Kalau diberi pilihan, aku akan bagi markah lebih kat sate kambing di China sebab rasanya yang awesome (menurut tekak aku le).


Bila perut dah kenyang, aku pun balik semula ke hostel. Sepanjang perjalanan ke hostel aku dapat dengar orang bermain mercun, bahkan di merata-rata tempat orang ramai sibuk membakar mercun. Mercun yang dibakar bukan sebarangan saiz, stok macam nak pegi berperang punye. Gile kaya betul dorang beli mercun besar gajah. Aku syak mungkin ni stok mercun yang tak sempat dibakar waktu Chinese New Year haritu, agaknyelah.


bersambung....
.

Read more...

From the land of Tin! Tin!

June 19, 2012

Tak pasti kenapa aku ke sini.
Aku datang bersendirian tanpa tahu apa yang bakal menanti. 
Di sini aku bertemu dengan seorang traveller dan tak sangka rancangan yang aku susun berubah 360 darjah.

land of skinny buildings

Dan aku pasti ada kejutan lain yang sedang menunggu esok....
.

Read more...

Made In China : Xian (Part 5)

June 15, 2012

Setelah selesai melawat ke Pit 3 dan 2, akhirnya tibalah giliran Pit 1. Sewaktu melangkah masuk ke dalam ruang yang sebesar stadium ini pandangan aku terhalang oleh kelibat manusia yang membanjiri segenap ruang di hadapan pintu masuk. Aku bertungkus-lumus menyelit di antara manusia yang menyemak kat situ dan akhirnya yesss!!! aku berjaya meloloskan dan diri dan serentak itu.....

WHOAAA GILE LAHHH!!!

Nak tau apa yang aku tengok???    

boleh kira??? aku rasa gambar ni sesuai sebagai latih tubi untuk orang yang susah nak tido malam. kehkehkeh
tentera disusun dalam posisi peperangan
nampak macam sama tapi tak sama langsung!
macam seram pun ye
ada putih, ada gelap, ada kelabu asap...ala-ala 1malaysia jugak la ni. hahaha
Saujana mata memandang! Tempat ni memang luas sampaikan orang yang berdiri di hujung pit nampak macam semut. Berbaloi jugak aku simpan tempat ni untuk yang penghabisan. Kalau tengok ikut turutan mungkin tahap keterujaan pun berkurang bila sampai ke pit yang terakhir.

Sebenarnya ini adalah pit yang pertama dijumpai (tahun 1974) dan telah dibuka untuk tatapan umum pada tahun 1976. Bangunan berupa stadium ini dibina menggunakan struktur besi dan berupaya menghalang dari kebakaran dan kecurian. Teknologi yang digunakan juga mampu mengawal suhu dan pencahayaan supaya tidak merosakkan sumber sejarah yang berharga ini. Kawasan seluas 16,000 kaki persegi ini menempatkan sebanyak 6,000 tentera terracotta, kuda dan sejumlah senjata tapi setakat hari ini baru 1/3 sahaja yang telah berjaya digali keluar. Kalau diperhatikan dalam gambar kita boleh nampak yang partition wall di antara barisan tentera terracotta jauh lebih rendah daripada patung itu sendiri. Kenapa ye?

Kisahnya dulu penah berlaku banjir yang menyebabkan kawasan ni mendap. Tempat ni jugak pernah dibakar oleh Xiang Yu (aku dah cerita dalam entry sebelum ni) dan telah menyebabkan sebahagian bumbung yang menutupi kawasan ini runtuh. Akibatnya sebahagian patung rosak dan terdapat kesan terbakar.

kuda ni macam ori, boleh oder satu
tentera yang menghadap bahagian sisi ini berfungsi sebagai benteng pertahanan
tempat yang ditandakan ni le yang membongkar misteri tentera terracotta
setelah menggali sedalam 16 kaki akhirnya terjumpa harta karun

Dulu (entah bile punye dulu sebab aku pun tak pasti), atau mungkin aku patut kata...waktu Pit 1 dibuka untuk orang ramai dulu, pelancong akan berpeluang jumpa pakcik yang gali perigi ni. Setiap kali pelancong tanya kisah tu pakcik ni akan bukak cerita pasal gali perigi dan cerita ni diulang berkali-kali sampailah pakcik tu naik fedap. Aku pun boleh fedap kalau asik kena ulang cerita yang sama. Kalau sehari ada 1000 orang, larat???  

Boleh jadi khabar angin ni logik sebab masa aku pi haritu tak nampak pulak kelibat pakcik ni. Ke pakcik ni dah arwah? Aku pun tak dapat nak pastikan. Mungkin ada sedara pakcik tu yang terbaca blog ni boleh tolong jelaskan?

negara apakah yang memperkenalkan teknologi batu-bata? jawapannya carilah sendiri
mai! mai! masih banyak lagi yang belum dikorek

Aku agak bernasib baik sebab kebetulan dapat tengok sedikit kerja restoration di Pit 1. Ralit jugak bila tengok dorang betulkan patung-patung yang rosak dan aku rasa best gila kerja ni sebab bukan senang nak dapat peluang sentuh benda artifak. So thumbs up!

proses mengeluarkan tentera terracotta yang masih belum selesai
bila patung-patung terracotta telah dibaiki barulah ia akan diletakkan semula
sempoi kan melepak sambil dikelilingi patung terracotta tak berkepala?
patung yang telah siap dibaiki menunggu masa untuk di loading ke tempat asal

Dalam entry sebelum ni aku ada cerita pasal warna pada tentera terrcotta. Setelah menjalankan kajian selama lebih 20 tahun akhirnya pakar dari China dan Jerman telah mencipta sejenis teknologi yang boleh mengawal warna patung terracotta daripada meluntur. Teknologi ini akan digunakan untuk proses penggalian yang akan datang memandangkan masih ada beberapa ruang dalam Pit 1 dan 2 yang masih belum dibongkar. 
kudaku lariii gagah beraniiii
ada yang cacat, hangus terbakar, lobang sana sini
bye! bye!

Akhirnya selesai sudah kisah 40 hari 40 malam pasal Pit 1, 2 dan 3. Peh lega! Eh belum habis lagi. Pasni aku nak cerita pasal kisah ke makam Qin Shi Huang, siap mendaki bukit sampai tercungap-cungap. Harapnya aku pun tak tercungap-cungap nak habiskan travelog ni sebelum raya. Kehkehkeh.


bersambung....
.

Read more...

  © Copyright Since 2010 | Backpacker Busuk

Back to TOP