Made In China : Chengdu (Part 3)

August 28, 2012

Hari Kelapan : 10 Februari 2012

Hari yang ditunggu-tunggu dah pun tiba. Aku bangun seawal pagi untuk mandi dan bersiap-siap sebab tak sabar nak tengok beruang panda. Selepas bersarapan aku berjalan menuju ke tourist bus station yang mirip seakan-akan bus stop yang terletak di hadapan entrance hotel Traffic Inn. 

dari jalan beso dah nampak signboard ni
timetable bas yang sepatah haram tak paham
stesen bas yang mirip sebuah bus stop
Kalau nak ke panda base sila naik bas #902. Trip bas yang pertama bermula jam 8pg dan berakhir jam 4.30ptg. Perjalanan ke panda base mengambil masa selama 45minit hingga ke 1jam dan kadar tambang cuma 2Yuan/RM1. Murah gile woh!

Sedang aku menunggu pintu bas dibuka tiba-tiba aku disapa oleh sepasang couple. Soalan pertama yang ditanya ialah "Are you from India?". Cett! Sebelum ni aku penah disangka rakyat Vietnam, Thai, Indon dan Pinoy tapi India belum lagi. Ni kira pes time la ni...rekod! Kehkehkeh. Barangkali India dari belah-belah utara kot....line-line Rani Mukerji dengan keluarga Kapoor (pengsan!). Aku pun tersalah sangka dengan dorang sebab mulanya aku pikir dorang couple sebab nampak mesra tapi selepas soal-selidik rupa-rupanya dorang ni sepupu. 

Menurut Jason, China ada 1 peraturan pelik di mana sebuah keluarga tak boleh ada anak lebih daripada 1 atau akan dikenakan denda atau, berhadapan risiko dibuang kerja (bagi penjawat awam). Walaupun begitu aku difahamkan masih ada kelonggaran. Contohnya kalau 1 keluarga ada 1 orang anak, nanti bila si anak tu kawin maka dia boleh ada 2 orang anak. Tapi bila 2 orang anak tu kawin, masing-masing hanya boleh ada 1 anak je. Kiranya dalam sesebuah keluarga, maximum cuma 2 orang anak. Contohnya macam mak bapak Jason dan sepupu dia ni le. Sebab dulu keluarga parents dorang 2 beradik, jadi bila sampai batch si Jason ni, memasing boleh ada sorang anak je. Kalau nak anak lebih, kena bayar denda. Boleh faham ke apa yang aku cuba sampaikan? Apapun, kalau info ni salah, anggaplah korang pun kena tipu macam aku. Kihkihkih...

Jadi disebabkan mereka berdua anak tunggal dalam keluarga dan itu sajalah sepupu yang ada, maka sebab itu mereka rapat macam adik beradik. Gile sadis. Aku difahamkan yang mak bapak dorang jarang habiskan masa bersama sebab sibuk kerja siang malam. Aku tak pasti mak bapak dorang kerja apa tapi nampak gaya macam anak orang kaya yang kurang kasih sayang. Mujurlah walaupun dilonggok duit berkepuk-kepuk tapi tak spoil sebab kedua-duanya belajar sampai ke peringkat universiti. Tak silap aku Jason amik course petroleum engineering dan sepupunya amik course apetah aku dah lupe. Tapi nak buat camne, rakyat negara dia terlalu ramai, kira logik le kerajaan China impose rules berkaitan birth control.

Bila aku cerita kat Malaysia boleh ada keluarga sebesar satu team bola dorang jadi tercengang. Kenapa? Tak percaya? Malaysia Boleh le!

bas #902 ke Panda Research Base (tambang 2Yuan/RM1)

Perjalanan ke panda research base dihabiskan dengan berbual-bual bersama Jason dan sepupunya. Banyak soalan yang ditanya kedua mereka terutama sekali berkaitan pengalaman semasa travel dan New Zealand. Kebetulan sepupunya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di sana jadi dia tengah menimbang-nimbang untuk pegi atau tak sebab katanya dia dapat tau dari kengkawan dia yang kebanyakan kedai-kedai di sana tutup seawal jam 5ptg. HAHAHAHA. Aku tergelak bila dia risau pasal kat sana takde life lepas pukul 5ptg. 

Aku tetap meracun suruh dia pegi walau hakikatnya aku tau camne life kat sana. Dari segi scenery memang cantik saujana mata memandang, orang pun tak ramai, sume orang ramah-tamah, bawak keta sopan santun, crima rates rendah, perfect sangat. Cuma kalau orang tu dah biasa tinggal di tempat yang sibuk, lepak mapley memalam bute, lanyak uptown tiap-tiap hari, aku rasa baik lupakan je sebab sure dia akan mati menggelupur sebab NZ ialah RETIREMENT COUNTRY! Hehehe. Tak paham? Abaikan.

Giant Panda Breeding Research Base (opens 8am-6pm)
tiket masuk 58Yuan/RM24

Sejam kemudian kami tiba di Panda Breeding Research Base dan beratur untuk membeli tiket masuk yang berharga 58Yuan/RM24 seorang. Kami juga mengambil kesempatan bergambar bersama di hadapan replika beruang panda sebagai tanda kenang-kenangan.

keluarga kecil Jason dan aku
walkway di celah pokok-pokok buluh

Kawasan ini sangat luas iaitu seluas kira-kira 92 ekar dan berjalan di sini seolah-olah berjalan di alam bunian...eh tak, macam berjalan di dalam hutan sebab kiri kanan semuanya pokok buluh (pokok lain pun ada tapi tak sebanyak pokok buluh). Seelok-eloknya bawaklah bekalan makanan dan minuman sebab sure lapar/dahaga sebab jarak di antara satu kadang ke kandang lain boleh tahan jauh.

Sedikit idea tentang tempat ni, sebenarnya beruang panda dibiarkan bebas berkeliaran di dalam kawasan masing-masing dan ia tidak berpagar tapi dibuat satu longkang yang besar di antara kawasan beruang dan pelawat supaya tak membahayakan sesiapa. So maknanya kita boleh tengok haiwan ni dalam habitat yang semulajadi. 

Ada orang tanya nape takde gambar aku pegang anak beruang panda? Jawap aku, ko gile ke Jemah? Seminit pegang kena bayau 1000Yuan yang kalau di convert jadi RM500!! Lebih baik aku beli tiket flight.... lagi bagoss! Tapi kalau duit dah bersepah-sepah sampai taktau nak watpe tu pegilah cuba. Once in a life time katanya....tapi jangan bengang la sebab SEMINIT je. Aku tak bertanggungjawab kalau dalam masa seminit tu bateri kamera ko habis atau memori kad ko penuh atau paling teruk kalau beruang panda tu pun nyampah tengok muka ko. Paham tu Jemah?

giant panda ni besaaaar gileee
makan sambil baring boleh jadi beruang panda
sama tinggi dengan budak darjah 6

Oklah aku dah malas nak taip. Cerita banyak-banyak pun tak guna. Lebih baik korang layan jelah komik beruang panda ni sambil makan kuih raya....

SKETSA #1
#1
#2
#3
jangan kacau, kena lempang nanti berpusing

SKETSA #2
#1
#2
#3
jangan buat bising kalau nak hidup lama

SKETSA #3
#1
#2
#3
#4
#5
#6
#7
#8

Terhibur tak? Haruslah terhibur. Lama tau aku dok melangut depan kandang sambil perati perangai dorang ni. Dah macam dokumentari NatGeo pun ye semata-mata nak dapatkan storyline yang menarik. Nasib baiklah aku jenis suka layan channel Animal Planet, so takde masalah nak melangut depan kandang deme ni lama-lama. Movie pun aku shoot, nanti ada masa aku edit dan share kat sini. Eh cerita beruang panda belum habis lagi oke, nanti kita sambung dalam entry yang lain....kbai!

**ketik sini untuk info lanjut berkaitan Giant Panda Breeding Research Base


bersambung....
.

Read more...

Made In China : Chengdu (Part 2)

August 26, 2012

Hari Ketujuh : 9 Februari 2012 (sambungan)

Aku tido tak sedarkan diri sampai pukul 6ptg - punyalah lama. Waktu ni matahari baru nak tergelincir. Orang tua-tua kata kalau genap 40hari tido membawak ke senja lama-kelamaan boleh jadi mereng. Takpelah, ada 39hari lagi....oklah tu.

Tanpa membuang masa aku terus mencuci muka dan bersiap-siap. Sepatutnya aku explore bandar Chengdu siang tadi tapi disebabkan terlalu letih maka terpaksalah merayap waktu malam. Sebenarnya aku tak berapa nak advise berjalan waktu malam terutama sekali kalau sorang diri sebab kalau jadi pape sendiri tanggung. Tapi kalau ikut pale otak aku, jawapannya mestilah OK. Apapun sebaiknya bawaklah peta, tapi yang penting sekali jangan lupa bawak calling card, in case sesat boleh balik dengan teksi.

peta bandar Chengdu *click to enlarge*
[bulatan biru : Traffic Inn Hostel, bulatan merah : attraction, kotak merah+angka: nombor bas]

Setelah berkira-kira akhirnya aku mengambil keputusan untuk ke Jinli Street yang terletak hampir 20minit menapak dari hostel. Walaupun jauh tapi aku suka sebab sambil berjalan boleh hafal landmark. Sebelum ke Jinli Street aku pegi makan kat kedai halal dibelakang Xinnanmen Bus Station...tak jauh mana pun, jalan kaki tak sampai 5-8minit.

lokasi kedai makanan halal
senang je nak cari kedai halal kat China. ada logo masjid dan signboard kaler hijau 

Seperti kebanyakan kedai halal di China, menu bergambar lazimnya ditampal pada dinding. Ia bagi memudahkan pembeli membuat pilihan tanpa perlu bertanya panjang lebar dengan pekedai. Lagipun dorang bukannya gheti cakap omputih - sikit-sikit tu boleh le.

Disebabkan selera yang agak kebulur, jadi aku memesan menu bercirikan nasik dengan lauk daging. Semasa menunggu, aku disapa oleh beberapa orang student dari India yang makan di situ. Mereka ialah penuntut tahun pertama jurusan perubatan di Universiti Sichuan. Menurut mereka, makanan di Chengdu pedas-pedas belaka jadi eloklah mintak tukang masak kurangkan pedas atau dalam bahasa cina = lai shiao (less spicy).

Tak lama kemudian makanan pun sampai. Suapan pertama mengundang air mata. Bukan sebab terharu dapat makan nasik tapi sebab pedas gile. Rasanya seumur hidup aku inilah kali pertama aku rasa makanan yang pedas nak mampos. Rasanya kalau duduk sini lama-lama peluang nak kena buasir amatlah cerah. Ini pun aku dah suruh dia bikin lai shiao (less spicy), kalau tak mungkin lagi super-pedas. Disebabkan terlalu pedas maka aku terpaksa makan sambil bersulam air. Orang tua-tua kata tak elok makan bersulam air sebab nanti nasik berenang dalam perut, tapi Ada Aku Kesah!!! (pedas gile woi!).

nampak lekeh tapi pedas nalaaa....!!

Memang betul, aku tak mampu nak habiskan makanan ni. Ratah lauk pun tak sanggup sebab terlalu pedas. Akhirnya aku hanya makan bahagian nasik yang belum terkena lauk - jadilah. Harga makanan pedas melenting ini cuma 10Yuan/RM5. Agak mahal tapi consider harga standard di China.

Chengdu memang terkenal dengan masakan pedas dan tak lengkap kunjungan ke Chengdu tanpa mencuba menu wajib iaitu Hot Pot. Aku difahamkan yang Hot Pot ini sama macam steamboat di mana bahan-bahan seperti daging dan sayuran dicelur bersama-sama dalam sejenis sup yang pedas. Walau bagaimanapun aku tak berpeluang mencuba Hot Pot sebab tak ketemu yang halal. Mungkin ada tapi aku yang tak mencari (gile makan steamboat sorang-sorang, boleh habis ke??)

Selepas makan aku terus menuju ke Jinli Street sambil menyusuri pedestrian walk di pinggir Funan River. Sepanjang perjalanan ke sini aku dapat melihat betapa besar dan modennya bandar Chengdu. Rasanya kalau tak sampai ke sini mungkin sampai bebila aku akan pikir Chengdu banyak pokok buluh dan beruang panda yang bergayut.

bangunan pencakar langit di sepanjang Funan River

Agak jauh aku berjalan tapi disebabkan sejuk so takdelah keluar peluh. Bila hari semakin gelap aku terpaksa mempercepatkan langkah dan akhirnya aku sampai di hadapan pintu gerbang Jinli Street. Tempat ini agak mudah untuk dicari memandangkan lokasinya yang berhadapan dengan jalan utama. Keadaan sedikit meriah terutama sekali di hadapan pintu masuk sebab orang ramai berebut-rebut ambil peluang untuk bergambar. Aku terpaksa menyelit di antara orang ramai untuk masuk ke dalam dan melihat keistimewaan tempat ini.
entrance ke Jinli Street
"batu bersurat" Jinli Street

Pada pendapat aku Jinli Street lebih kurang macam kebanyakan street market yang ada di China. Di sini ada bermacam gerai kraftangan, souvenir, local food dan juga Starbucks. Local food tolak tepi sebab tak halal jadi aku cuba mengintai kalau-kalau ada souvenir yang murah tapi semuanya overpriced. Disebabkan tempat yang agak kecil jadi aku hanya mengambil masa lebih kurang 30minit untuk membuat 1 pusingan lengkap. Aku rasa tempat ni lebih menarik pada waktu malam sebab setiap lorong dihiasi lampu tanglung dari pelbagai saiz dan warna yang dapat membangkitkan mood romantika d'tampoi dan sesuai untuk kaki-kaki kamera.

lorong-lorong kecil yang dihiasai tanglung pelbagai saiz dan bentuk
misai ke tanglung?
Aku beredar dari Jinli Street untuk ke Tibetan Quarter yang terletak di seberang jalan tapi sedikit hampa sebab tak jumpa. Kalau tengok dalam map macam senang nak locate tapi disebabkan malam dan keadaan jalan yang agak gelap jadi aku terpaksa membatalkan niat untuk ke sana (atau mungkin jugak tempat ni hanya bukak waktu siang, wallahualam).

Memandangkan waktu yang masih berbaki jadi aku mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di kawasan sekitar dan singgah di beberapa buah kedai yang menjual barangan outdoor. Kalau nak tau Chengdu agak terkenal dengan kedai outdoor (original, bukan knock-off macam kat HCMC dan Hanoi) sebab sini kan jumping point ke EBC dan Tibet. Aku perhatikan harga barangan outdoor di sini jauh lebih murah berbanding yang dijual di Malaysia dan beberapa negara yang pernah aku lawati seperti S.Korea, NZ, OZ, Thailand dan Singapore. Ada bermacam-macam brand seperti North Face, Columbia, Mammut, Marmot dan pelbagai jenama yang lain. Aku dah terberkenan dengan satu jaket 3-layer tapi memandangkan trip melibatkan salji dan tempat-tempat sejuk macam takde untuk 1-2 tahun ini jadi niat itu terpaksa dibatalkan. Lain kali mungkin ada design yang lebih cantik dan material lagi bagus so better hold dulu. Bagi sesiapa yang bercadang ke EBC atau Tibet dari Chengdu, barangkali anda boleh beli barang-barang tersebut di sini sebelum berangkat sebab ia lebih murah dan praktikal.

Tepat jam 10mlm kedai-kedai mula berkemas-kemas untuk ditutup dan ini bermakna aku juga harus balik ke sarang. Oleh kerana hari sudah lewat jadi aku mengambil keputusan untuk menaiki bas #82 (tambang 1Yuan/50sen) untuk balik ke hostel.

Bersiap-sedia untuk ke Giant Panda Breeding Research Base esok!!


bersambung....
.

Read more...

Made In China : Chengdu (Part 1)

August 24, 2012

Selamat Hari Raya Ke-6! Cerita di Xian dah habis so kita teruskan dengan episod Chengdu.


Hari Ketujuh : 9 Februari 2012

pemandangan sebelum sampai ke Chengdu
Berkali-kali aku membelek jam sambil melihat ke luar tingkap. Masih belum nampak tanda-tanda nak sampai. Ke aku yang terlepas stesen? Kalau tak tido lepas subuh tadi mungkin aku tak terpinga-pinga macam sekarang. Makcik opera kat depan aku entah ke mana, mungkin dah sampai rumah dia kot.

Setengah jam kemudian (jam 11.40pg) aku pun tiba di Stesen Keretapi Chengdu. Hujan renyai-renyai menyambut aku yang pertama kali menjejakkan kaki ke sini. Kalau bukan kerana dokumentari giant panda yang keluar kat tv dua minggu lepas mungkin aku takkan sampai ke Chengdu.

gerabak hard seater

Waktu keluar dari bangunan stesen keretapi tiba-tiba seorang officer pompuan menahan aku. Haih, time spirit tengah high ni ada pulak yang cari pasal. Dengan muka yang kerek officer itu menyoal aku dalam default language mereka ie. bahasa cina. Dia tak nampak ke aku ni foreigner? Cubalah cakap guna bahasa universal!!

Belum sempat aku buka mulut datang seorang officer lelaki dan menyuruh aku beredar. Tengok!! Beruk takde, angin pun takde, tiba-tiba nak cari pasal. Aku mula rasa berbulu dengan officer-officer pompuan kat sini sejak peristiwa di airport Beijing haritu. Keje rilek-rilek dahle! Lempang nak??

mengusung bunjut pahlawan adalah pemandangan yang biasa
Stesen Keretapi Chengdu
Aku mempercepatkan langkah menuju ke pintu keluar. Walaupun bengang tapi benda macam ni kekadang terpaksa let go. Biasalah, adat merantau. Pepatah Inggeris ada berkata,

"When you travel, remember that a foreign country is not designed to make you comfortable. It is designed to make its own people comfortable"

Suasana di hadapan Stesen Keretapi Chengdu sama macam stesen-stesen keretapi China yang lain, sentiasa crowded dengan manusia tak kira masa, waktu dan musim apa sekalipun. Aku kira Chengdu ni bandar yang biasa-biasa tapi aku tersilap. Rupa-rupanya sini pun ada keretapi bawah tanah ie. subway. Ia mungkin tak sehebat rangkaian subway di Beijing dan Shanghai sebab masih baru dan sedang dalam proses pembinaan.

[sumber] Chengdu Metro

Sewaktu berada di Xian beberapa hari yang lepas aku sempat menghantar email kepada 2 buah hostel di Chengdu iaitu Traffic Inn Hostel dan Chengdu Mix Hostel. Memandangkan booking sedikit bermasalah jadi aku hanya "janji elektronik" dengan hostel-hostel tersebut. Mungkin jugak sebab low season maka booking tanpa deposit pun diterima. Aku rasa banyak jugak kelebihan travel waktu off season terutamanya dari segi penginapan sebab rata-ratanya boleh sekadar walk-in. 

Di antara kedua-dua hostel tersebut aku memilih Traffic Inn Hostel disebabkan review, lokasi dan akses yang mudah untuk ke Giant Panda Research Base, Mt Emei, Leshan Giant Buddha dan lain-lain sebab di depan hostel ini letaknya tourist bus station untuk ke semua destinasi tersebut. Ia juga tak jauh dari bus stop airport (8-10min walk) so in case bangun lambat tak panik sangat, Xinnanmen Bus Station (sebelah hostel), Funan River (depan hostel), Mao Statue (15min walk), Jinli Market dan Tibetan Quarter (20min walk).

Bagi muslim traveller, aku rasa tempat ni sesuai sebab di belakang Xinnanmen Bus Station ada 1 kedai halal yang dibuka sampai lewat malam. Aku terjumpa kedai ni waktu cari lokasi hostel. Ada 2 sebenarnya tapi yang lagi 1 tu jauh sikit dari yang ni.

Dari Stesen Keretapi Chengdu aku hanya perlu menaiki subway (Line 1, tambang 2Yuan/RM1) dan turun di stesen Huaxiba, keluar di Exit C dan seterusnya ikut map di bawah.

[sumber] peta ke Traffic Inn Hostel . jangan terpedaya, nampak macam dekat tapi hakikatnya jauh
Traffic Inn Hostel, ni bangunan reception. hostelnya di tepi & belakang
Sebenarnya Traffic Inn ada 2 iaitu hotel dan hostel. Traffic Inn Hotel terletak di bahagian hadapan manakala hostelnya pulak di belakang (adatlah, kasta bawah). Untuk memudahkan cerita, cari saja lokasi Xinnanmen Bus Station sebab di sebelah itulah Traffic Inn Hotel (hostel ada dalam compound hotel). Walaupun tempat ini terletak betul-betul di sebelah stesen bas tapi tak dengar langsung bunyik bising. Ajaib.

Oh ye, sebelum ni aku ada sebut pasal low season dan walk-in kan? Di Chengdu bilangan hostel yang ada female dorm agak terhad dan kebetulan pada waktu ni ketiga-tiga hostel yang ada female dorm semuanya fully booked. So apa aku buat ialah masa check-in aku mintak staff bertugas letakkan aku dalam dorm yang lebih ramai pompuan. Jangan salah faham, aku bukanlah seorang sexist mahupun kaki cerewet tapi kadang-kadang rasa tak selesa. Kalau dorm itu di dominasi oleh kaum hawa mungkin aku tak kisah sebab perasaan superior dan power puff tu terlebih-lebih. Dari pengalaman aku sebelum ni, kebanyakan penghuni lelaki lebih pengotor dan bising (pervert tak jumpa lagi setakat ni, harap tak jumpa) dan itu antara sebab kenapa aku rasa turn-off.

Pada pendapat dan pengalaman aku sendiri, mixed dorm sama macam one-gender dorm sebab takde sesiapa yang akan salin baju secara public apatah lagi berbogel. Semua urusan peribadi dilakukan dalam bilik air. Jadi tak perlulah paranoid kalau terpaksa duduk dalam mixed dorm. Tapi kalau ada pakwe hot duduk dalam dorm yang sama, anggaplah itu sebagai bonus. Kehkehkeh.

tilam & bantal memang empuk. cadar pun bersih. tak meragukan
Aku ditempatkan di sebuah dorm 6 katil siap dengan aircond (boleh jadi heater waktu winter), individual locker, individual reading lamp dan cerek elektrik cuma toiletnya kat luar (common/shared bathroom). Di sini sekali lagi aku dapat katil bawah, yes! Harga penginapan semalam ialah 35Yuan/RM17 termasuk deposit 50Yuan/RM25. Sangat murah!

Setelah meletakkan beg dan berkenalan dengan jiran di katil sebelah, aku terus menuju ke bilik air untuk bersiram. Walaupun sekarang musim sejuk tapi aku rasa tak selesa sebab dah lebih dari 12jam tak mandi. Apabila selesai membersihkan diri dan menunaikan kewajipan aku mengambil keputusan untuk berehat memandangkan badan, tengkuk, tulang belakang, tulang bontot mula terasa sakit akibat duduk terlalu lama waktu dalam keretapi - 16jam kot!


bersambung....
.

Read more...

Ucapan Raya 2012

August 16, 2012

**entry ini adalah sequel dari entry khas ucapan raya tahun-tahun yang sebelumnya.

Bersempena dengan hari raya yang bakal menjelang aku ingin mengambil kesempatan menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada semua pembaca blog BackpackerBusuk di atas segala salah dan silap selama blog ini bersiaran dan juga di atas progress entry yang lembap (apa boleh buat, masa sangat mencemburui aku). 

Pengumumuan penting buat ahli jemaah #Travelholicawesome dan kengkawan yang menghantar kad raya serta menunggu balasan daripada aku, tadi aku mendapat berita kad raya yang aku kirim untuk korang tersesat sampai ke Pejabat Pos Ulaanbataar, jadi sila jangkakan kelewatan. Untuk tidak menghampakan semua maka terimalah kad raya elektronik yang spesel ini sebagai penganti diri. Kehkehkeh. 


Juga tak lupa buat semua yang mengenali aku sama ada di alam maya mahupun di alam nyata (maaf tak dapat nak sebut nama satu-persatu), tak kira di mana jua korang berada kita tetap melihat bulan yang sama....cewaahhh! Apapun, pokoknya di sini marilah kita buang yang keruh dan ambil yang jernih. Hidup ini sekadar persinggahan, mungkin tahun ini bakal jadi tahun terakhir kita merasai nikmat berpuasa dan berhari raya.

Untuk yang pulang jauh ke kampung halaman terutama sekali yang memandu, sila hargai nyawa orang di sekeliling. Akhir kata, Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir & Batin. Insya Allah panjang umur kita akan bertemu lagi di dalam entry yang lain.


Ikhlas,
Fatt BpB
.

Read more...

Made In China : Xian (Part 8)

August 15, 2012

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia!

Lama kan aku tak update? Sorilah sebab bizi macam menteri. Apapun terima kasih kerana masih sudi menjenguk ke blog ini walaupun takde entry yang baru. Entry China dah nak habis...mungkin lagi 3 post dan selepas itu aku akan menyambung entry-entry yang tersangkut di tengah jalan. Insya Allah.


Hari Keenam : 8 Februari 2012

Pejam celik pejam celik rupa-rupanya dah 6 hari aku bermusafir di China. Setakat ni belum lagi timbul sebarang masalah dan segala perancangan masih berjalan dengan lancar. Harini juga adalah hari terakhir aku berada di Xian dan akan bertolak ke Chengdu dengan keretapi malam. Waktu check-out ialah pukul 10pg tapi bagi penghuni hostel yang menunggu keretapi/flight/bas ke destinasi seterusnya boleh menyimpan luggage secara percuma di ruang storage (note: fee luggage storage kat stesen keretapi 30Y-50Y/RM15-RM25). Lebih baik simpan kat hostel.

Haritu masa check-in hostel ada bagi free kupon untuk secawan brewed coffee. Brewed coffee weh bukan instant punya. Rugi tolak tuah! Aroma kopi segar di pagi bute memang sesuai untuk memanjangkan jangka celik mata, sangat sesuai untuk aku yang dah check-out.


Sambil menikmati kopi aku menulis poskad untuk diri sendiri dan kengkawan. Kos menghantar poskad dari Xian tak mahal, setem 4.50Y/RM2.25 dan tak silap aku harga ni pukul rata untuk semua destinasi termasuk Malaysia manakala harga poskad antara 10Y-15Y/RM5-RM7...TAPI poskad ni dijual secara pukal (1 pack ada 10-15 keping). So do the maths! Affordable sangat. **kat sini poskad tak jual sekeping dua, sume by pack.

Destinasi pertama yang aku tuju setelah selesai menulis poskad ialah pejabat pos. Sewaktu melangkah masuk ke dalam pejabat pos aku mencari-cari mesin angka giliran - takde! Aku perhatikan orang yang masuk semuanya terus menyerbu ke kaunter, takde beratur, takde ikut giliran. Selamba. Aku teragak-agak nak buat benda yang sama tapi melihatkan crowd yang tak surut-surut maka aku takde pilihan melainkan terpaksa mengikut rentak yang sama. Memang betul, tak sampai 1 minit urusan membeli setem pun selesai. Nampaknye memang begini cara mereka berurusan. Tapi kalau dibawak perangai yang sama kat Malaysia mau bertinju bersilat bagai.

Kalau nak tau, poskad dari China akan mengambil masa selama 1-2 minggu untuk sampai ke tangan penerima (naik tongkang gamaknye). Walaupun lambat tapi alhamdulillah semua poskad yang aku kirim selamat sampai.


Dari pejabat pos aku berjalan ke tempat menunggu bas di hadapan Bell Tower dan  menaiki bas #610 yang menghala ke luar pusat bandar. Destinasi aku yang seterusnya ialah Shaanxi History Museum. Tambang bas di dalam kawasan bandar pun murah, rata-rata antara 1Y-2Y. Normally untuk jarak yang dekat aku bayar 1Yuan, kalau jauh skit 2Y, ikut sesedap rasa. Tapi maksimum selalunya 2Y. Driver bas tu tak pandang sangat waktu aku masukkan duit jadi aku rasa betul la kot. Kehkehkeh. Sorila tips tak berapa nak membantu. Tapi yang penting sekali sediakan duit kecik banyak-banyak kalau nak naik bas, ok!

Bas-bas di Xian ni kebanyakkannya dari jenis double decker. Kalau tak berapa pasti nak turun kat mana lebih baik duduk di tingkat bawah. Berdasarkan pengalaman aku menaiki bas di sini, aku turun je kat mana-mana aku suka sebab map ada, Insya Allah tak sesat. Tapi aku ada pengalaman sesat naik bas...kehkehkeh, itu kena tunggu episod Chengdu. Punyalah kan selama ni eksyen tak sesat sekali amik padan muka sesat. Lol!

bas #603 yang kerap aku gunakan untuk berulang-alik dari hostel ke lain-lain tempat
Berbalik pada cerita, sebelum sampai ke Shaanxi History Museum aku turun dari bas. Kenapa? Sebab aku tengok dalam map ada dataran dan Big Wild Goose Pagoda. Kawasan dataran ni lebih kurang macam Dataran Merdeka, ada ramai orang bersantai, melepak, berdating, amik gambar dan sebagainya. Takde apa yang menarik perhatian aku di sini. Bangunan pagoda tu pun aku snap dari dataran sebab tak berapa interest nak explore.  

takde penerangan pasal tiang-tiang ni, mungkin perhiasan semata-mata
Big Wild Goose Pagoda
Ada 2 pagoda yang terkenal di Xian iaitu Big Wild Goose Pagoda dan Small Wild Goose Pagoda. Binaan ini wujud sejak zaman Dinasti Tang dan dijadikan sebagai tempat menyimpan transpkrip Hindu dan patung-patung keagamaan Buddha. Bacaan lanjut berkaitan pagoda-pagoda tersebut sila ketik di sini dan sini.

Aku meneruskan perjalanan ke Shaanxi History Museum yang terletak sekangkang beruang dari dataran pagoda tersebut. Sebenarnya aku bukanlah peminat tegar muzium (depends muzium jenis apa) tapi disebabkan entrance ke muzium ni free jadi apa salahnya kalau menjenguk.

muziumnya kat belakang dan ini kiranya second entrance dari pintu masuk utama
walaupun free tapi masih perlu amik tiket (mungkin untuk mengira statistik pelawat)

Aku melangkah masuk ke dalam muzium dengan hati yang terbuka sebab dah boleh expect apa yang bakal aku tengok. Muzium ini dibahagikan kepada beberapa seksyen, dari teori Darwin, zaman Paleolitik, Neolitik, sejarah China dan sebagainya. Dalam muzium juga dipamerkan bahan-bahan artifak tapi yang paling menarik perhatian aku ialah lesung batu. Bukan sebab dah lama tak makan sambal belacan tapi sebab teringat cerita Labu Labi scene M.Zain suruh Haji Bakhil tumbuk sambal belacan. Hahahaha...ingat tak??? Aku rasa scene tu memang berasas sebab terbukti lesung batu wujud sejak zaman pra-sejarah. Relevan kot teori aku.

mungkinkah orang China purba makan cili giling dan sambal belacan?

Dari pameran barangan pra-sejarah aku beralih ke pameran Terracotta Army. Aku tak berapa pasti sama ada patung-patung ni ori ke tak sebab setahu aku patung terracotta yang ori memang susah dibawa keluar dari tempat yang mana ia sepatutnya dipamerkan (which is the original pit) due to rules & regulations. Entahlah, tapi kalau patung-patung ni fake sekalipun sape yang tau sebab China mampu duplicate apa saja yang dorang nak. Betoi tak?

tengok! takde satu pun muka yang sama
miniature terracotta warriors
Waktu berlalu terlalu pantas dan aku terpaksa beredar walaupun masih banyak ruang pameran yang belum diteroka. Aku segera menaiki bas #603 yang menuju ke pusat bandar dan sewaktu menghampiri South Gate aku turun. Seperti yang pernah aku sebut dalam entry sebelum ni, kalau ada masa dan duit lebih, bolehlah cuba berjalan kaki atau naik basikal mengelilingi kota Xian melalui tembok ini. Kalau mampu, cuba buat 1 pusingan lengkap dengan berjalan kaki. Tak jauh mana pun, cuma 14km atau 4-5jam aje. AJE! Bayaran masuk ke tembok ini adalah 40Y/RM20. 

kawasan tembok setinggi 12m ini asalnya 7 kali lebih besar berbanding sekarang
pintu South Gate
Aku turun di sini bukan sebab nak berjalan di atas tembok tapi sebab ada changing guard kat depan pintu masuk. Walau bagaimanapun, nasib aku kurang baik sebab setelah bersusah payah melintas jalan ke sini (pintu South Gate ni terletak di tengah-tengah jalan yang sibuk) guard dah masuk ke dalam. Pfftt!! Apapun aku sempat tengok costume dorang, memang sebijik sebijun macam dalam cerita Cina dulu kala. Dengan perasaan hampa aku terus beredar dan menaiki bas untuk balik ke Bell Tower. 

Turun saja di Bell Tower aku terus bergegas ke masjid. Kebetulan pada waktu itu jemaah baru selesai menunaikan solat Asar. Aku segera mengambil wudhu dan menunaikan solat di dalam ruang masjid. Selesai berdoa aku pun beredar. Aku melihat sekali imbas kawasan sekitar masjid dan pada waktu ini terbit perasaan sayu kerana mungkin ini kali terakhir aku menjejakkan kaki ke sini. Apapun aku tetap rasa bersyukur kerana dapat melihat sendiri tempat yang suatu ketika dulu pernah menjadi pusat penyebaran agama Islam yang tertua di China.

jemaah selesai menunaikan solat Asar
Selesai menunaikan solat aku ke Muslim Quater yang terletak di kawasan masjid untuk menjamu selera. Memandangkan perjalanan yang bakal aku tempuh sebentar lagi memakan masa selama 16jam jadi aku perlu memastikan perut aku benar-benar kenyang. Pilihan aku kali ini ialah makanan berunsurkan roti dan apa lagi kalau bukan sate kambing. Restoran yang aku tuju kali ni adalah dari negara yang hujungnya ada perkataan "Tan". Mungkinkah Kyrgystan? Atau Tajikistan? Entah. Aku main agak je sebab rupa dorang tak macam Cina, topi pun dah ala-ala topi Rusia. Tapi yang pasti ialah makanan yang disediakan semuanya halalan toyyiba.

As usual, communication breakdown berlaku tapi itu bukanlah masalah besar sebab kami boleh berkomunikasi dengan bahasa isyarat. Dorang agak teruja bila berjumpa dengan aku, barangkali aku adalah manusia pertama dari Malaysia yang masuk ke kedai ni. Bila aku tunjuk passport dorang pun kata...."Ooooo Malaysia" disertai gelengan kepala. Sohih dorang tatau negara Malaysia wujud atas peta dunia...sob sob sob. Weh kitaorang ada KLCC oke! #tetiba


"Karipap" goreng yang aku cuba seperti dalam gambar ni memang sedap. Barangkali doh atau intinya yang sedap. Sungguh sedap sampai aku terpaksa tapau. Masa aku tengah kalut makan tetiba tekak terasa kering. Terpaksalah pulak buat bahasa isyarat "air", kalau buat bahasa isyarat "tercekik" nampak sangat gelojohnya. Dorang terus bawak satu teko teh Cina dan cawan kat aku. Amboi ni perli ke siap hulur teko lagi. Aku sorang je kot! Aku toleh kiri kanan tengok semua orang ada teko air yang sama. Heh, sipi-sipi lagi aku nak kecik ati. 

karipap inti daging
teh cina - foc!
sate kambeng yang mabeles!
Acara makan pun disudahi dengan melepaskan gian pada sate kambing. Ini mungkin sate terakhir yang akan aku tibai sebab pasni dah susah nak jumpa yang halal di Chengdu. Total damage untuk lunch+dinner aku di sini ialah 14Y/RM7. Ka-ching!


Bila dah kenyang aku pun beredar dan berjalan kaki balik ke hostel untuk mengambil backpack. Sebelum meninggalkan hostel aku singgah dulu ke tandas dan waktu ini berlaku satu peristiwa gelap dalam hidup aku. Waktu aku bergegas keluar dari tandas tiba-tiba ketang!ketung!plop!! henpon aku masuk lubang jamban!! Buat julung-julung kalinya henpon aku masuk dalam lubang jamban. Gile frust menonggeng. Nasib baikla dah flush, kalau tak....! Err dah masuk lubang jamban pun kira nasib baik ke?? Aku terpaksa abaikan rasa geli dan amik henpon tu. Kalau tak mengenangkan nombor-nombor telefon yang penting dalam simkad ni memang tak koser aku nak amik. Keadaan agak kelam kabut dan secara auto aku menyabun henpon tersebut untuk menyah segala bakteria yang bergayut. Lepas lap lebih kurang aku terus simpan. Aku harap henpon ni masih hidup bila dah kering. Harap-haraplah!

Mujurlah dari hostel bas #603 (tambang 1Y) banyak. Perjalanan selama 15minit ke stesen keretapi agak lancar walaupun banyak kenderaan di atas jalanraya. Sampai saja di stesen keretapi aku mula serabut sebab barrier gate telah dipasang untuk mengelakkan orang ramai menyerbu masuk ke dalam kawasan stesen. Banyak khemah dengan nombor keretapi dipasang di kawasan sekitar (sampai ke tahap itu sebab terlalu ramai orang).

Setelah menunjukkan tiket maka pegawai yang berkawal membenarkan aku melepasi kawasan berpagar memandangkan keretapi aku akan berlepas tidak lama lagi. Apabila melepasi pagar aku dan penumpang lain perlu beratur untuk melalui proses screening - sebijik macam kat airport. Gila ketat security kat sini, walhal stesen keretapi je kot! Ini bukan kali pertama aku melalui proses sebegini tapi untuk yang pertama kali ke China dan bakal merasa pengalaman menaiki keretapi, sila pastikan anda tiba di sini 2 jam lebih awal untuk mengelakkan dari ditinggal keretapi.
balik kampung....ooOOOoo....balik kampung....hati girang!
scene yang normal tak kira waktu perayaan atau hari biasa. gile!

Walaupun baru melepasi screening hati aku belum berasa lega sebab belum berjumpa platform yang harus dituju. Aku mencari-cari maklumat tempat menunggu dan platform yang dipamerkan pada papan notis elektronik yang diletakkan di setiap sudut dalam bangunan keretapi. Setelah betul-betul pasti aku pun menuju ke ruang menunggu yang dimaksudkan dan sekali lagi aku terkejut sebab barisan yang menunggu masuk ke ruang platform ini tersangaaaaaaaaatttlah panjaaaaaaaangg! Tanpa membuang masa aku ikut beratur dalam barisan seperti penumpang lain dan menunggu waktu pelepasan dengan tekun.

Aku berdiri dengan backpack sarat yang digalas depan dan belakang. Hampir 20 minit aku gagahkan kaki untuk berdiri di dalam barisan. Hampir give-up pun ada. Tapi orang lain lagi dahsyat - ada yang bawak bunjut pahlawan, ada yang menjinjing beg troli (sepatutnya beg ini diseret tapi dijinjing - gagah sangat!) dan bermacam-macam gaya lagi. Agak terhibur jugak melihat gelagat orang China balik kampung. Penah sekali aku jumpa penumpang yang bawak baldi dan kipas duduk - musykil sungguh. Kalau dibandingkan dengan keadaan mereka, aku rasa nasib aku lebih baik sebab mampu menggalas backpack depan dan belakang - walaupun dah serupa penyu.

destinasi Xian-Chengdu, 113Y/RM56 (hard seat)

Setelah lama menunggu akhirnya pintu pelepasan dibuka dan kesemua penumpang termasuk aku berjalan menuju ke platform. Oh ye, kali ni nasib aku sedikit malang sebab tak dapat sleepers macam perjalanan dari Beijing-Xian yang lepas sebab kesemua sleepers ke Chengdu dah fully booked untuk 3 hari berturut-turut. Walaupun perjalanan ini memakan masa selama 16jam tapi aku takde pilihan. To do or not to do. Kalau tak grab alamatnya aku bakal terlepas flight balik ke Malaysia.

destinasi : Xian - Chengdu
pegawai keretapi pompuan kat sini semuanya macho
Sewaktu melangkah masuk ke dalam gerabak nombor 13 aku perhatikan takde seorang pun orang asing kecuali aku. Walaupun aku seorang saja dari spesis mata bulat tapi dorang tak pandang aku macam alien. Untuk the first half an hour tu mungkin ada tapi untuk jam berikutnya dorang dah tak kisah. Pada pengamatan aku orang di sini agak bertimbang rasa walaupun mereka cukup terkenal dengan sifat kasar. Sebabnya waktu aku nak letakkan backpack ke ruang simpanan beg di bahagian atas tempat duduk, ada yang sudi menolong. Bayangkan kudrat menjulang beg 60L yang sarat! Sesungguhnya aku amat berterima kasih dengan pakcik yang menolong aku pada waktu itu. Terima kasih.

Pengalaman berada di dalam gerabak ini juga agak unik tapi tak jauh beza dengan pengalaman semasa menaiki keretapi Thailand dan Indonesia. Cuma dari segi susunan tempat duduk di dalam gerabak agak berbeza dan kurang selesa sebab kerusi saling menghadap di antara satu sama lain manakala di tengah-tengahnya pula ada sebuah meja yang memisahkan di antara penumpang. Sesekali petugas keretapi akan datang sambil menyorong troli yang sarat dengan minuman dan makanan untuk dijual. Selain dari itu setiap gerabak menempatkan beberapa buah TV untuk menghilangkan kebosanan penumpang. Tapi kesemua siaran yang dipasang adalah dalam bahasa Cina. Ada drama, wayang dan video klip. Aku paling lemah bila masuk part video klip sebab 2 orang makcik kat depan aku akan memekak like nobody's business. Nasib baik suara sedap - macam penyanyi opera. Kalau tak sedap harus aku jadi pengadil dan komen pitching out.

Perjalanan selama 16jam dari Xian ke Chengdu aku rasakan begitu lama. Barangkali sebab duduk, kalau baring mungkin aku boleh tido bersambung-sambung. Tido dalam keadaan duduk ni paham-paham jelah. Sekejap lentok ke kiri, sekejap lentok ke kanan - serupa ayam patah tengkuk. Walaupun guna neck pillow, tapi kesan sakit tengkuk hasil tido duduk memang memeritkan. Itu belum cerita sakit tulang bontot dan tulang belakang - silap haribulan terpaksa jadi Usop Wilcha.


bersambung....
.

Read more...

  © Copyright Since 2010 | Backpacker Busuk

Back to TOP