Umrah : Doa Yang Termakbul Di Hadapan Kaabah

January 13, 2013

Sambungan dari entry seterusnya.


Hari Keenam : 19 Jun 2011

Tamat program ziarah luar kami singgah di Masjid Jaranah untuk berniat ihram bagi kali yang kedua. Mulanya aku ingatkan lepas selesai umrah haritu dah habis setel semua tapi rupa-rupanya salah. Sebenarnya umrah boleh dilakukan berkali-kali asalkan kita berniat ihram, mengikut syarat yang ditetapkan dan suci daripada hadas.

Masjid Jaranah terletak di luar tanah haram dan merupakan tumpuan lokasi bermiqat. Di sini kami menukar pakaian ihram (kain tak bercantum bagi jemaah lelaki dan kain telekung bagi jemaah perempuan), berwudhu, berniat dan menunaikan solat sunat ihram. Setelah selesai kesemuanya maka bermulalah pantang-larang yang perlu kami patuhi sehinggalah selesai ibadah umrah.

Perbezaan di antara haji dan umrah ialah dari segi waktu melakukannya di mana umrah boleh dilakukan sepanjang tahun kecuali pada musim haji (bulan Zulhijjah) dan begitulah sebaliknya. Selain itu jemaah yang melakukan umrah tidak perlu melontar jamrah, berwukuf di Arafah dan bermalam di Mina dan Mudzalifah. Yang wajib dalam umrah hanyalah niat, tawaf, saie dan bercukur atau bergunting.

#1 - Masjid Jaranah
#2 - masuk semula ke tanah haram
Aku yang keletihan tertidur di sepanjang perjalanan balik dari Masjid Jaranah dan tersedar bila hampir sampai. Sebelum memasuki terowong aku ternampak pemandangan yang cukup menarik iaitu Menara Abraj Al-Bait. Menara ini mempunyai ketinggian sebanyak 591m dan ia boleh dilihat di serata ceruk kota Mekah. Ia juga merupakan menara kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa di Dubai.

Menara Abraj Al-Bait mempunyai jam yang terbesar di dunia yang secara langsung mengalahkan Big Ben di London. Keistimewaan yang terdapat pada jam ini ialah pada waktu malam ia akan mengeluarkan lampu berwarna hijau putih dengan kalimah Allah di keempat-empat permukaan dan ia jelas kelihatan dari jarak 30km.

#3 - Menara Abraj Al-Bait di sebalik pemandangan kota Mekah
#4 - merupakan menara kedua yang tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa, Dubai

Ada yang mengatakan menara ini menunjukkan tanda kiamat semakin hampir disebabkan lokasinya yang cuma bersebelahan dengan Masjidil Haram. Masalahnya siapalah kita untuk meramal tarikh sebenar hari kiamat? Sedangkan Rasulullah SAW yang paling mulia pun tak tau bila tarikhnya. Agak sedih terutamanya bagi orang Islam yang mempersenda-sendakan hari yang dijanjikan Allah akan berlaku. Bila takde apa-apa yang berlaku pada penghujung 2012 golongan ini mempersendakan lagi dan mengatakan neraka sedang direnovasi dan diperbesarkan untuk menampung bakal penghuni yang akan duduk di situ. Persoalannya yakinkah diri tu masuk syurga? Mengucap panjang. Mintak-mintaklah takde sape di sini yang bergurau macam tu, takut terpesong akidah.

Memetik sabda Rasulullah SAW, "Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sahajalah pengetahuan tentang hari kiamat, dan Dia-lah yang menurunkan hujan, serta mengetahui apa yang ada di dalam rahim" - Hadis Riwayat Ibn Majah.

Apabila sampai di Mekah kami tak terus melakukan umrah, sebaliknya balik dulu ke hotel untuk berehat dan mengumpul tenaga. Kami keluar semula pada waktu Zohor untuk solat berjemaah di Masjidil Haram dan balik lagi ke hotel untuk makan tengah hari. Nasiblah jarak di antara hotel dan masjid agak dekat jadi kami langsung tak rasa letih berulang-alik. Abah dan sepupu-sepupu lelakiku terlebih dahulu selesai tapi aku terpaksa menunggu mak dan makcik-makcikku yang kebanyakannya sakit lutut.

Akhirnya group kami bermula selepas solat asar. Alhamdulillah aku dapat melakukan tawaf dengan baik tanpa bantuan sesiapa sebab aku lebih yakin selepas belajar dari umrah yang pertama. Ada satu pengalaman unik yang berlaku sewaktu aku melakukan saie. Semasa berjalan di lorong saie tiba-tiba masuk azan Maghrib dan pada waktu ini semua jemaah segera berhenti dan mencari ruang untuk bersolat. Semua jemaah tak mengira lelaki atau perempuan membuat saf di lorong saie dan di atas bukit Safa dan Marwah. Saf lelaki dan saf perempuan kelihatan berselang-seli di antara satu sama lain tapi mengarah ke kiblat yang sama. Masing-masing bersedia di dalam saf sambil menunggu imam melaungkan takbir.

Aku segera menghabiskan satu pusingan sehingga ke Bukit Safa dan terus masuk ke dalam saf bersama jemaah yang lain. Itulah kali pertama aku mengerjakan solat semasa bersaie dan di atas Bukit Safa. Peristiwa ini memberikan aku satu pengalaman yang cukup istimewa dan takkan dilupakan sampai bila-bila.

#5 - selepas solat Maghrib di Bukit Safa
#6 - menyambung kembali ibadah saie yang berbaki
Selesai ibadah saie aku berjumpa dengan ahli keluarga yang lain di atas Bukit Marwah. Kami semua dah berjanji akan berjumpa di sini bila selesai sebab nak bertahalul bersama-sama. Sebenarnya cuma mak dan makcik-makcikku yang pegang gunting jadi nak taknak terpaksalah aku menunggu sampailah dorang datang.

#7 - Bukit Marwah tempat pengakhiran saie
#8 - umat manusia yang membanjiri di kawasan sekitar Kaabah
Sebenarnya aku nak bercerita tentang satu peristiwa yang berlaku setelah selesai melakukan tawaf tapi aku sengaja simpan di bahagian terakhir. Aku rasa rahmat yang Allah bagi pada aku cukup banyak bermula dari saat menjejakkan kaki di Raudhah sehinggalah peristiwa di datangi orang misteri di Masjidil Haram. Bukan niat aku nak membangga diri tapi sewaktu menulis travelog ini aku mengkaji balik semua yang berlaku dan aku merasa bersyukur dipilih menjadi tetamu-Nya dan merasai pengalaman sebegini.

Ada satu perasan yang sukar untuk diterjemahkan setiap kali memandang Kaabah. Walaupun tak dapat melihat-Nya tapi aku dapat rasakan yang Dia sedang memerhatikan aku. Walaupun Kaabah hanyalah sebuah bangunan segi empat yang diselubungi kelambu hitam dan bersulamkan benang emas, tapi ia tetap indah dipandang dari setiap sudut. Seakan ada satu tarikan untuk aku terus melihatnya dan pandangan itu cukup menyenangkan. Bahkan lebih tenang dari melihat gunung-ganang, pepohonan hijau dan laut biru yang terhampar luas.

Selesai melakukan tawaf aku mencari posisi yang terbaik untuk melakukan solat sunat iaitu di antara pintu Kaabah dan makam Nabi Ibrahim AS. Walaupun keadaan jemaah pada waktu itu agak ramai tapi alhamdulillah aku dapat melakukan solat dengan tenang dan khusyuk tanpa sebarang gangguan. Setelah memberi salam, berzikir dan berselawat, aku mengangkat kedua-dua tangan untuk berdoa. Mata aku tak putus-putus memandang Kaabah dengan perasaan yang sarat. Semua rasa yang menghimpit dada sejak dari tadi sehinggalah sekarang akhirnya terlerai.

Aku menangis sewaktu berdoa kepada Allah. Rasanya suara aku dah lari tune tapi aku yakin Allah Maha Mengetahui apa yang ingin aku sampaikan. Aku luahkan segala perasaan yang terbuku, segala rasa kecewa yang menggunung pada si dia yang telah meninggalkan luka di hati yang sangat dalam. Hati aku parah bagai digilis lori sehingga semuanya hancur lumat. Seseorang pernah berkata pada aku, untuk hidup bahagia kita perlu memaafkan kesalahan orang lain. Aku cuba halusi kata-kata yang ternyata ada kebenarannya. Setelah lama menjeruk rasa barulah aku dapat memaafkan. Sungguhpun terluka tapi aku tak menyimpan walaupun sekelumit dendam. Mungkin semua ini sudah tertulis di Loh Mahfuz dan tersurat sejak dari azali. Aku redha dengan ketentuan Allah dan berdoa semoga dia berbahagia bersama wanita pilihnya. Peristiwa ini tersangatlah pahit untuk dikenangkan serta meninggalkan kesan yang mendalam dalam hidup aku. Namun di sebalik itu aku belajar bahawa mencintai tak seharusnya memiliki.

Aku juga tak lupa mendoakan sahabat-sahabat yang telah mengirimkan pesanan sebelum meninggalkan tanah suci. Ada yang ingin bertemu jodoh, yang inginkan anak, yang ingin dijemput ke tanah suci dan yang ingin berubah menjadi seorang muslim yang baik. Semua doa-doa kalian aku sampaikan, takde satu pun yang tertinggal. Alhamdulillah, aku menyaksikan satu persatu doa itu dimakbulkan tapi dalam banyak-banyak doa yang dipanjatkan, ada satu doa yang paling cepat Allah makbulkan dan paling terkesan dalam hidup aku sampailah sekarang.

Aku mengenali Ninie cukup lama dan persahabatan kami bermula sejak dari sekolah rendah sehinggalah dia berpindah ke sebuah negeri di utara. Walaupun terpisah tapi kami sering berutus-surat bertanyakan khabar dan bergosip. Masa tu belum ada internet dan handphone maka suratlah satu-satunya penghubung kami berdua. Hal ini berlarutan sampailah kami melangkah ke sekolah menengah dan akhirnya ke alam universiti. Aku masih teringat sewaktu dia menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan lelaki pilihannya. Aku gembira tapi dalam pada masa yang sama aku sedih sebab selepas itu kami akan berpisah lagi dan kali ini lebih jauh. Akhirnya hari yang ditunggu-tunggu pun tiba dan sekali lagi Ninie pergi jauh dan kali ini ke United Kingdom kerana mengikut suami yang bekerja di sana.

Sekali lagi aku rasa kehilangan seorang sahabat yang selalu menjadi tempat untuk bercerita segala macam tentang diri aku. Walaupun sedih tapi aku akur dengan kehidupan kami yang sudah berubah tapi apa yang penting ialah kami masih lagi berhubung sampailah sekarang. Aku juga sering menghantar poskad kepada Ninie setiap kali berjalan-jalan dan rasanya mungkin dah berpucuk-pucuk poskad yang aku tulis ada dalam simpanannya.

Jadi, sewaktu beberapa hari sebelum berangkat ke tanah suci kami telah berbual. Ninie telah menyatakan hasrat supaya aku mendoakan mereka beroleh cahaya mata. Setelah hampir 3 tahun berkahwin pastinya mereka sangat mengharapkan zuriat sebagai penyeri keluarga. Aku akur dengan permintaan Ninie yang aku rasakan sangat menggunung dan penuh pengharapan.

Kini aku duduk di hadapan Kaabah dengan tangan yang masih menadah mengharapkan sesuatu. Aku berdoa semoga Allah mengurniakan mereka zuriat sebagai pengikat kasih dan penyeri keluarga. Aku tahu hajat mereka sangatlah tinggi dan aku berharap semoga Allah memakbulkan doa aku. Bagi aku inilah satu-satunya hadiah yang dapat aku berikan kepada seorang sahabat dunia dan akhirat.

Sebulan selepas kembali dari tanah suci Ninie menghubungi aku. Katanya ada benda penting yang nak diberitahu dan menyuruh aku online. Aku tak menjangkakan apa-apa cuma menganggap ia sekadar perbualan biasa tapi rupanya aku tersalah. Aku sangat terkejut dan menangis bila Ninie maklumkan berita yang dia sudah mengandung. Aku sangat terharu sebab menjadi salah seorang yang terawal mendapat berita ini. Aku rasa cukup-cukup gembira dan bersyukur kepada Allah sebab telah memakbulkan hajat mereka. Walaupun sebagai perantara tapi peristiwa ini merupakan detik yang sangat manis bagi aku dan semestinya bagi Ninie dan Zaid yang telah menunggu selama hampir 3 tahun. Tapi apa yang lebih manis ialah bila doktor meramalkan bayi mereka akan lahir pada hari lahir aku!

Setelah 9 bulan menunggu akhirnya kelahiran yang dinantikan pun tiba. Pada 4 April 2012 lahirlah seorang putera yang diberi nama Fahim Zidane bin Mohd Zaid. Walaupun doktor meramalkan Fahim akan lahir pada hari lahir aku tapi nampaknya Fahim dah tak sabar-sabar nak berjumpa dengan ibu dan ayahnya. Fahim keluar seminggu lebih awal dari tarikh yang dijangkakan. Takpelah Fahim, yang penting zodiak kita sama dan pangkal huruf nama kita pun sama. Hihihi. Aku selalu memerhatikan perkembangan Fahim walaupun cuma dari skrin kompiter. Semakin hari dia membesar dari seorang bayi yang dibedung sehinggalah boleh berjalan. Ternyata Fahim sangatlah comel dan aku pasti dia akan menjadi seorang anak yang cerdik dan hensem bila dah besar nanti. Aku juga mendoakan semoga Fahim sentiasa sihat dan menjadi seorang anak yang soleh. 

#9 - Fahim yang cute
#10 - keluarga bahagia Ninie & Zaid
Sebenarnya keinginan untuk menjenguk Fahim dah berkali-kali aku suarakan kepada Ninie tapi apakan daya tabung ayamku asiklah bertelur. Bahkan sebelum Fahim lahir lagi Ninie dah berbuih mulut mengajak aku ke sana dan mengumpan penginapan percuma di rumahnya. Aku memang merancang ke sana dan mengharap semoga suatu hari nanti Allah makbulkan jugak rancangan aku. Kalau dipanjangkan umur mungkin kita akan bertemu lagi, Insya Allah. Kalau tak di sana mungkin di sini tapi aku nak pegi sana! :-)


bersambung....
.

17 comments:

Siti R January 13, 2013 at 3:15 PM  

Ada 5 perkara yg kalau kita pandang shj dah boleh dpt pahala:

1. Wajah ibu bapa
2. Wajah org2 Alim atau guru kita
3. Lautan
4. Mushaf Al-Quran
5. Kaabah

Wallahualam...sekadar berkongsi apa yg pernah dikongsikan dgn saya. Kalau saya ada tersilap harap ada yg betulkan..

Akmal Iqbal January 13, 2013 at 4:14 PM  

Fatt...doa yang baik, ikhlas untuk kebaikan kawan2, di tempat yang baik pulak tu..pasti akan didengar Allah. Duh...bergenang air mata, bila agaknya dapat memandang Kaabah...

azieazah January 13, 2013 at 5:54 PM  

Setiap insan seharusnya ada niat, berusaha untuk ke sana.

Setuju. Bila kita rela hati memaafkan orang yang pernah buat kita sakit hati, kita juga akan rasa lega dan tenang. Tiada makna langsung menyimpan dendam.

dzuchan January 13, 2013 at 7:24 PM  

fatt,episod ini tacing..
mak aku pun citer sama, bila pandang Kaabah secara live, automatic air mata jatuh, maybe aku belum sampai, so x dapat nak gambarkan perasaan tu..

aku selalu baca , kalau berdoa dengan penuh keyakinan bahawa doa itu akan dimakbulkan, InsyaAllah..

dakS January 14, 2013 at 2:33 AM  

"you have to give forgiveness, in terms of to get heal inside out"- jwb seorg bapa bila ditanya oleh Oprah apa perasaan beliau pd waktu itu... he's the only one who survived slps di kelar dan isteri serta anak lelakinya yg pertama di bunuh dgn kejam di rumah mereka sendiri oleh anak lelaki kedua beliau...

lps aku dengar kata2 beliau, ianya cukup terkesan buat aku sampai la ni utk memaafkan semua org dan berfikiran lbh positif(hati musti mau bersih)....hidup aku lebih tenang sekarang...

harap2 thn ni hajat aku nak pi umrah diperkenankan ALLAH... aku nak doakan utk kau cepat dpt pengganti masa kat sana nti... oyeh...

citer travelog umrah ko ni akan aku tabungkan sampai ko habis, br aku baca blk dr 1st... hahaha...

Biqque January 14, 2013 at 9:35 AM  

ada baiknya jugak ko blog secara detail cite umrah ko ni bersiap gambar, dpt la org yg tak pegi lagi ni tgk dan baca dgn rasa sonok skali.

takpe la fatt, Allah tu maha mengetahui, dia tau segala2nya apa yg hamba dia pintakan dan apa yg hamba dia lalui. ada la tu dia siapkan utk ko. lebih baik tau awal dari tau lambat kan?

ha part gi eu tu mmg untung if ada kawan kat sana, apa lagi, pegi laaaaaaaa :D patu nanti bleh pinjam kawan2 ko kalo aku pi pulak :)

musafir 28 January 14, 2013 at 12:08 PM  

samala pglmn kita..masa umrah ada la doakan member yg dh 5 tahun kawin & tak dapat anak (dia pun dh pegi umrah n doa utk dapat anak disana sblm tu)..tup2 lepas bbrp bulan aku balik dr umrah dgr news dia preknen..rase bertuah sgt sbb jadi salah sorang drpd yg mendoakan dia dapat anak..bknla nk ckp sbb aku yg doa, tp rase bertuah sbb jadi antara penyumbang doa yg makbul..hihiiihii..

pengalaman solat jumaat kt masjid haram paling tak dapat lupa..mcm2 perasaan masa tu..takut,best,cuak,risau,teruja..ohh Allah, jemputla aku lagi..isskk..

gadisBunga™ January 14, 2013 at 2:00 PM  

salam...

aku terharu baca entri ni. takde yang lebih menyeronokkan dari melihat kawan-kawan dimakbulkan doa dan lebih manis sebab kita pun sama turut berdoa. terasa sangat besar rahmat dari-Nya.

aku masih menunggu doa aku dimakbulkan Allah, dan aku tak pasti aku ada kirim doa kat ko tak itu hari. tapi takpe, aku sabar. aku harap doa ko terhadap diri sendiri juga akan dimakbulkan. amin... :')

Ninie Hanis January 14, 2013 at 7:40 PM  

Fatt dearie,

sungguh terharu menjadi salah seorang yang didoakan di hadapan Kaabah malah dimakbulkan pula dalam tempoh yang singkat.terima kasih dan hanya doa sahajalah yang mampu aku titipkan buat ko sahabat agar satu hari,kebahagiaan yang manis ini hadir dalam hidup ko insyaAllah..

ailebiu fatt.kita tetap bespren dari zaman ko cintan edry kru,punk,sampaila kpop ni.u are my bespren forever.


p/s mulut aku masih berbuih mintak ko penuhkan tabung ayam ok.

Kak Mahh January 14, 2013 at 9:37 PM  

Senantiasa mendoakan kebaikan kpd orang lain pasti kebaikan juga milik kita.

feeza fauzi January 16, 2013 at 2:21 PM  

Salam, Fatt..
dah lame baca kamu, tapi hari ni berpeluang nak comment..
In syaa Allah, sye pun akan buat Umrah bulan March nanti..
bile bace entry ni awak berdoa depan kaabah & menangis sambil berdoa, buatkan sye pun terkesan jugak..
makin tak sabar sye nak ke sana..
saye pun harap Fatt boleh siapkan travelog ummrah ni sebelum sye ke sana.
banyak info yang sangat bebrguna kat blog awak..
hihi..

jarimanis January 16, 2013 at 11:21 PM  

Kelu lidah utk berkata2 sekadar mengharapkan semoga makbulkan doa yg d panjatkan kpdnya dan fatt menemui kebahagian yg d cari Aminnn

Fatt January 23, 2013 at 11:26 AM  

siti r,
rasa sy apa yg awk share ni sy pnh dgr...terima kasih krn berkongsi :)



akmal,
syukran. wlpun diri sy belum lg merasa pglmn menjadi ibu, tp sy rasa happy bila doa itu dimakbulkan. tgk gmbr kaabah dlm tv pun kdg2 sy bergenang air mata, lagi2 bila tgk ada org tengah bertawaf di sekelilingnya



azieazah,
setuju. sbb kita pn mgkin dlm tak sedar mgkin pernah buat salah pd org lain



dzuchan,
aku pulak, bila dah balik ni klu tgk gmbr kaabah dlm tv yg ada org bergerak2 tgh tawaf tu mesti aku bergenang lah...rindu sungguh.



langit,
rumah Allah :)



dakS,
aku suka quoted text tu...have to agree bcoz aku rasa lebih tenang skrg. wlpun org tu penah sakitkan hati aku sesakit2nya..tapi aku taknak ingt apa benda yg -ve psl dia, aku cuma pikir benda2 baik yg dia penah buat..cara camtu je aku dapat memaafkan org dan pikir aku pun tak perfect

amboi...aku ni kan, sbnrnya belom ready lagi ke arah tu. aku rasa tak berminat nak involve in relationship atau berkawan dgn sapa2 sbb dlm hati aku masih...masih...masihhhhh...kekeke...apapun terima kasih sbb nak tlg doakan..aku menghargainya :)



biq,
itula tujuannya mak esah oiii...ala2 travel with me katanya. takpelah biq, aku hepi gini kekdahnya..bleh buat suke ati, live life to the fullest hehehe...

boleh, kengkawan katanya :)



musafir,
hanya Allah saja yg mengetahui. aku pun risau klu org kata aku riak tapi hanya Allah saja yg tau kenapa & mengapa. tapi part doc estimate lahir time dob aku tu mmg buat aku rasa emo skit...tacing! suratan atau kebetulan? wallahualam

aku tak sempat solat jumaat kat cni sbb angkat bendera jepun T__T



gb,
wsalam, gb...aku rasa takde terima kiriman doa dari ko..wallahualam. sori gb. doa aku pun masih belom terjawab..masih sabar menunggu..mgkin doa itu tak baik utk aku..hanya Dia sj yg mengetahui. aku positif...



ninie,
tacing lah ko nie...aku bahagia wlpun camni..tengok2 org2 sekeliling aku bahagia pun aku dah cukup utk aku terkena tempiasnya. bila dah makin berumur ni, aku rasa mksd happiness tu sbnrnya luas, cuma waktu zmn muda2 dulu tak nampak skopnya sebesar mana. alhamdulillah, aku hrp korang stick around aku sampai bila2...bcoz koranglah sumber kekuatan aku..lebiu jgk my bestie :)



kak makh,
kata2 akak ni akan sy semat dlm hati..terima kasih



feeza,
wasalam...insya Allah travelog ni sempat sy habiskan sblm awk ke sana...seronoknya awk nak pegi umrah..sy rindu betul nak pegi balik, nanti awk gunakanlah sebaik2 peluang kat sana..berdoa2lah sebanyak2 yg mungkin sbb itulah peluang utk kita berada paling hampir dgn dia



jarimanis,
terima kasih awk, sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang :)

Bibu Wilda January 30, 2013 at 10:27 AM  

akk yg belum pernah sampai pon tiap kali tgk kaabah dan baca mana2 travel log lagi2 Fatt punya ni, dah bergenang ayak mata.Memang bile tgk faktor umur sepatutnya lama dah akk nak pegi..nanti bila dah 40 an or 50 an kesihatan mungkin tak sebaik sekarang.In shaa Allah harap2 tahun depan akk dapat jadi tetamu Allah.

mohd nasrul asyraf bin ariffin January 30, 2013 at 3:07 PM  

Saya baru jer habis kursus umrah hehe
insyallah hujung bulan 5 pegi....

ustaz cakap kawasan saie tu bukan sebahagian dari masjidil haram ...so apabila masuk waktu solat sebaik 2 nyer masuk ke dalam kawasan masjid supaya dapat ganjaran 100 000 tu..lepas solat boleh sambung balik saie, cuma start balik belakang sikit dari tempat kita berhenti supaya betul2 cukup ...

syarat sah twaf kene berwuduk manakala saie boleh dilakukan tanpa wuduk n org perempuan yg berhadas besar pun boleh lakukan saie kerana kwasan saie bukan sebahagian dari masjid...tapi seelok2 nyer sempurna la semuanya...

wallahualam ..klu salah tolong betulkan.. tak sabar nak ke sana amin

Haji Mazlan Muslim October 5, 2013 at 6:50 AM  

Gambar2 di Mekah al-Mukarramah tu cantik pemandangannya. Subhanallah. Terkenang masa saya pergi menunaikan ibadah haji pd tahun 1990 dulu. Alhamdulillah. Wassalaam.

Post a Comment

Terima kasih!!

  © Copyright Since 2010 | Backpacker Busuk

Back to TOP