Umrah : Kisah Di Sebalik Bukit Thur - Ziarah Luar Kota Mekah (Part 1)

January 09, 2013

Sambungan dari entry sebelumnya.


Hari Keenam : 19 Jun 2011

Sewaktu hari keenam di sini rombongan kami telah dibawa berjalan-jalan dalam satu program ziarah luar. Tujuannya ialah untuk melihat tempat-tempat yang pernah menjadi lokasi penting dalam sejarah Islam selain lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan jemaah sewaktu di musim Haji. 

Aku adalah salah seorang di antara mereka yang cukup teruja dengan program sebegini sebab pada waktu inilah aku dapat mengingat kembali sejarah Islam yang pernah aku baca dan dapat mengabadikan kenangan melalui lensa kamera. Maaflah kalau gambar-gambar yang dipetik kelihatan tak berseni di mata jurukamera profesional tapi bagi aku cukuplah sekadar dapat menyampaikan gambaran sebenar bumi Mekah kepada pembaca yang belum pernah ke sini. 

#1 -  rumah-rumah yang dibina di atas bukit yang berbatu
#2 - pada tahun 2011 tempat ini sedang rancak dibangunkan dan mungkin sekarang sudah siap
#3 - perhatikan struktur tanah di sini - berbatu

Sepanjang perjalanan ke Bukit Thur, Ustaz Zul telah bercerita kepada kami peristiwa bersejarah yang pernah berlaku di Bukit Thursina yang juga dikenali sebagai Bukit Thur. Kisah ini berlaku semasa penghijrahan umat Islam dari kota Mekah ke kota Madinah pada tahun ke-14 kenabian Rasulullah SAW. Peristiwa bermula apabila baginda telah dikecam oleh penduduk Quraisy Mekah yang bimbang akan pengaruh agama Islam yang semakin mendapat tempat di hati penduduk Arab. Oleh itu pada suatu hari mereka telah bermesyuarat untuk mencari jalan bagaimana hendak menghentikan dakwah baginda dan dalam perbincangan tersebut seorang lelaki tua yang merupakan jelmaan iblis telah bersetuju dengan cadangan Abu Jahal supaya Rasulullah SAW dibunuh.

Pada hari rancangan jahat itu ingin dilaksanakan, baginda telah bertemu Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan menyuarakan hasrat untuk berhijrah setelah mendapat perintah daripada Allah SWT. Pada malam tersebut seramai 11 orang penjahat yang telah diupah berkumpul di sekeliling rumah baginda dan merancang untuk membunuhnya pada waktu subuh iaitu sewaktu baginda pergi ke masjid.

Peristiwa ini telah disebut dalam Ayat 30, Surah Al-Anfal yang bermaksud, "Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Mekah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu atau membunuhmu atau mengusirmu, mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya"

#4 - tak payah buat retaining wall sebab dah solid batu
#5 - deretan kedai yang menjual kelengkapan harian untuk kegunaan jemaah dan penduduk Mekah
#6 - lagi deretan kedai yang terdapat di sepanjang jalan keluar dari kota Mekah
Rasulullah SAW telah meminta Saidina Ali Bin Abi Talib untuk menggantikannya dan tidurlah ia di situ dengan menggunakan selimut yang dipakai oleh baginda. Sewaktu keluar dari rumah, baginda telah menggenggam pasir dan menabur ke arah 11 orang penjahat tersebut sambil membaca Ayat 9, Surah Yasin yang bermaksud, "Dan kami adakan di hadapan mereka dinding dan di belakang mereka dinding (pula), dan kami tutup (mata) mereka sehingga mereka tidak dapat melihat". Sekadar berkongsi, ayat ini sesuai diamalkan sebagai pendinding dari segala bahaya dan sebagai hamba kita harus yakin hanya Allah SWT sahajalah tempat untuk kita berlindung.

Maka dengan pertolongan Allah SWT, penglihatan penjahat-penjahat tersebut telah ditutup dan baginda pun terselamat daripada ancaman bunuh. Setelah berjaya menyelamatkan diri baginda pergi menemui Abu Bakar dan bertolak ke Madinah. Sewaktu keluar dari Mekah mereka telah melalui Bukit Thur dan berhenti untuk mencari perlindungan. Oleh kerana rancangan untuk membunuh baginda telah gagal, maka orang kafir Quraisy telah membuat tawaran 100 ekor unta bagi sesiapa yang berjaya menangkap Rasulullah SAW sama ada dalam keadaan hidup ataupun mati.

#7 - sebiji bas yang kelihatan tersadai di tengah-tengah bukit
#8 - jalanraya di kota Mekah
#9 - stesen minyak yang ditemui semasa perjalanan ke Bukit Thur
Sewaktu mendaki Bukit Thur, kaki baginda telah melecet dan Abu Bakar telah memapah baginda sehinggalah bertemu dengan sebuah gua. Setelah menawarkan diri untuk memeriksa keadaan dalam gua maka Abu Bakar pun masuk dan mendapati ada 3 lubang di dalamnya. Abu Bakar telah mengoyakkan kainnya untuk menutup salah satu di antara lubang tersebut dan selebihnya beliau telah menggunakan kaki sendiri untuk menutup baki lubang yang lain. Setelah yakin untuk berlindung di situ maka Abu Bakar pun memanggil Rasulullah SAW untuk masuk dan setelah meletakkan kepala di pangkuan Abu Bakar maka baginda pun tertidur. 

Sewaktu baginda sedang tidur tiba-tiba kaki Abu Bakar telah dipatuk sejenis ular berbisa daripada salah satu lubang yang ditutup dengan kakinya. Oleh kerana patukan yang sangat berbisa maka Abu Bakar pun menangis dan air matanya gugur ke muka Nabi. Baginda kemudian tersedar dan bertanya pada Abu Bakar apa yang menyebabkan beliau menangis. Setelah menceritakan apa yang berlaku maka baginda pun meludah ke kaki Abu Bakar dan dengan kuasa Allah SWT bisa itupun hilang. 

Setelah berlindung di gua tersebut selama 3 hari akhirnya Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar pun meneruskan perjalanan ke Madinah di atas pertolongan seorang penunjuk jalan yang mahir. Sebelum sampai di Madinah mereka tiba di Quba dan di sini baginda telah membina sebuah masjid iaitu Masjid Quba. Masjid yang dibangunkan di atas dasar takwa ini merupakan masjid pertama yang dibina oleh baginda selepas diangkat menjadi seorang Rasul, iaitu selepas peristiwa Israk Mikraj. Kisah tentang Masjid Quba pernah aku ceritakan dalam entry ziarah luar kota Madinah, boleh refer kisahnya di situ.

Setelah menempuh perjalanan selama hampir 20 minit maka rombongan kami pun tiba di Bukit Thur dan sewaktu turun dari bas aku perhatikan kawasan ini kering tandus takde apa-apa kecuali bukit yang berbatu. Aku terbayang akan kecekalan Rasulullah SAW dan kegigihan Saidina Abu Bakar yang telah memapah baginda untuk sampai ke gua yang terletak di atas bukit ini. Besar sungguh pengorbanan Saidina Abu Bakar iaitu seorang sahabat yang cukup dikasihani Nabi dan beliau diberi gelaran "As-Siddiq" yang bermaksud "Yang Membenarkan" kerana beliau merupakan orang pertama yang mempercayai Rasulullah SAW sewaktu peristiwa Israk Mikraj dan juga orang yang sentiasa percaya dan membenarkan kata-kata Nabi semasa hayatnya. Oleh kerana kasih dan sayangnya beliau terhadap Nabi Muhammad SAW maka Saidina Abu Bakar telah meminta untuk dikebumikan di sisi Rasulullah SAW di dalam Raudhah.

#10 - Bukit Thur yang kelihatan dari kejauhan
Selain dari peristiwa bersejarah yang pernah berlaku di sini, tahukah pembaca semua pada suatu hari nanti akan berlaku satu peristiwa dahsyat di Bukit Thur dan peristiwa ini telah disebut di dalam Al-Quran?

Selepas berlakunya tanda kiamat yang pertama, muncul Imam Mahadi dan Nabi Isa AS akan dibawa turun dari syurga untuk memerangi Dajjal. Setelah berakhirnya peperangan tersebut muncul pula Yakjuj Makjuj tapi kali ini Nabi Isa AS tak dapat melawannya kerana Yakjuj Makjuj ini tersangatlah dahsyat. Baginda memohon pertolongan kepada Allah SWT untuk diselamatkan dari kekacauan yang ditimbulkan dan pada waktu ini Allah SWT akan memerintahkan Nabi Isa AS membawa seluruh umat Islam untuk berlindung di Bukit Thur. Kemudian Allah SWT menghantar sejenis binatang seakan-akan ulat yang akan memusnahkan Yakjuj Makjuj sehingga hancur luluh kesemuanya. 

Setelah kesemuanya hancur kemudian Allah SWT akan menghantar sejenis burung sebesar unta yang akan membawa bangkai Yakjuj Makjuj ini ke tempat lain. Dan setelah itu Allah SWT akan menurunkan hujan yang lebat untuk membersihkan keseluruhan bumi sehingga berkilau seperti pasir pantai yang bersinar. Selepas peristiwa tersebut maka bumi pun kembali subur dan Nabi Isa AS akan memerintah dunia selama 40 tahun. Dalam tempoh itu baginda akan menunaikan Umrah dan Haji sebelum wafat. Setelah kewafatan baginda dan meninggalnya Imam Mahadi (beberapa tahun sebelum kewafatan Nabi Isa AS), maka akan berlaku satu peristiwa di mana Kaabah akan diruntuhkan oleh seorang lelaki dari keturunan Habsyi. Kemudian akan berlaku tanda-tanda kiamat yang lain sehinggalah matahari terbit dari Barat. Akhir sekali akan turunnya malaikat Israfil yang akan meniup sangkakala sebanyak 3 kali untuk mengejutkan seluruh umat manusia dan pada waktu ini dunia akan bergoncang, kemudian untuk mematikan semua benda yang bernyawa dan akhir sekali membangunkan semula seluruh umat manusia bagi menghadapi hari pembalasan.

Begitulah sedikit sebanyak kisah di sebalik Bukit Thur yang dapat aku kongsikan dengan semua. Selain peristiwa Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar yang pernah berlindung di sini, Bukit Thur juga telah menjadi saksi Nabi Musa AS menerima wahyu dan bakal menyaksikan Nabi Isa AS dan seluruh umat Islam berlindung sewaktu serangan Yakjuj Makjuj nanti. Aku rasa bersyukur kepada Allah SWT kerana sewaktu menyiapkan entry ni aku dapat membaca sebanyak mungkin cerita berkaitan Bukit Thur dan peristiwa hari kiamat daripada sumber-sumber di internet dan mengolahnya semula dalam bahasa sendiri. Sesungguhnya kita sangat bertuah kerana Allah SWT dah bagi clue apa yang akan berlaku di masa hadapan tapi sayangnya masih ada di antara kita yang memilih untuk ingkar akan tanggungjawab dan suruhan Tuhan.  

Bagi pembaca yang ingin membaca cerita berkaitan hari kiamat, Yakjuj Makjuj, Bukit Thurperistiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari kota Mekah ke kota Madinah dan peristiwa Israk Mijraj, bolehlah klik di pautan yang telah aku letakkan di sini. Semoga perkongsian ini akan menginsafkan kita dan tidak terlambat sekiranya kita ingin bertaubat kerana pintu taubat masih terbuka. Diharapkan supaya kisah ini akan dapat mengubah diri kita daripada keadaan yang sedia ada kepada keadaan yang lebih baik. Segala yang buruk itu datang daripada diri aku sendiri dan yang baik itu datangnya daripada Allah SWT. 

*kredit untuk penulis blog-blog tersebut kerana telah berkongsi ilmu

bersambung....
.

19 comments:

Langit Tinggi January 9, 2013 at 4:58 AM  

teringat balik sejarah nabi .... ^__^

Naramas Aman January 9, 2013 at 5:24 AM  

Salam Fatt,
Terima kasih kerana perkongsian ini. Menitis airmata membacanya.

Marilah kita berselawat untuk kesejahteraan Rasulullah s.a.w.

Rindunya saya pada tanah suci.

Biqque January 9, 2013 at 9:19 AM  

terasa seronok sungguh membacanyer :) sucinya hati sahabat baginda, dan sayangnya baginda pada sahabat2nya...

moga kita pun ke arah situ :)

YanTie AhMad January 9, 2013 at 9:21 AM  

Alhamdulillah..thanks for sharing..tak sabar nak baca next entry..:)
Moga ko di beri idea melimpah2 nak mengarang..hehe..

apie arbath January 9, 2013 at 9:43 AM  

Ermm..jabal thur ni tinggi sungguh...teringat bila mana hanya separuh je dapat mendaki..konon nak melihat gua yg pernah didiami nabi muhammad saw dan saidina abu bakar ra tu...apakan daya diri ini surrender tercungap2 dgn ketinggian nya..udara yg nipis dan kering...terpikir juga dimana dtgnya kudrat mereka utk mendaki dgn ketinggian ini....wallahualambissawab....:-)

musafir 28 January 9, 2013 at 10:02 AM  

rindunye bila tgk kedai2 tu, jalan raya yg xde lane, building celah2 batu, bukit2 batu sepanjang jalan, stesen minyak yg rege minyaknye mak datok murahnyeeee...sesungguhnye kerinduanku ini memang sgt mendalam..cewah

none January 9, 2013 at 10:21 AM  

selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW,,,

bila baca bab penghijrahan Nabi ni mmg sangat besar ibrah yang boleh kita ambil.. Nabi dengan Abu Bakar kan menantu,,, bayangkan menantu tidur di atas pangkuan bapa mertua,, indah kan akhlak mereka... dan ada sirah yg menyebut Nabi juga berkongsi kayu sugi dengan Abu Bakar... kita mampooo dok nok buat gittew ngan mertua... hehehe

MasZuber January 9, 2013 at 1:15 PM  

Thnx fatt sebab ko rajin untuk baca semua artikel berkenaan dan simplifiedkan dalam entry ko yang ini. Really appreciate it.

Bile diingat hari menjelang kiamat, memang ada rasa gerun di hati sebab takut tak sempat bertaubat sebelum ajal tiba..hmmm byk nie kena muhasabah diri sendiri..

Thnx again!!

creamyfiodesi January 9, 2013 at 4:25 PM  

salam fatt.
thanx atas karangan sirah ko yg menarik nih. hehe. just..

"Selain peristiwa Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar yang pernah berlindung di sini, Bukit Thur juga telah menjadi saksi Nabi Musa AS menerima wahyu dan bakal menyaksikan Nabi Isa AS dan seluruh umat Islam berlindung sewaktu serangan Yakjuj Makjuj nanti."

Nabi Musa a.s. menerima wahyu kat Bukit Tursina yg terletak kt Mesir (time nak balik semula ke Mesir slpas beberapa tahun melarikan diri ke Madyan), manakala bukit Thur terletak kt Selatan Mekah menghala ke Yaman.

So, kedua-dua peristiwa ni berlaku kt tempat yg berbeza act. Yg kisah Rasulullah kt bukit Tursina tu merujuk kepada kisah perhentian baginda semasa peristiwa Isra' Mikraj.

Wallahu a'lam bissawab. Aku pun selalu lupa sirah nabi ni. Adoi.

Fatt January 9, 2013 at 5:58 PM  

langit tinggi,
alhamdulillah :)



naramas,
wasalam prof..sy sedih waktu kaki Abu Bakar dipatuk ular. tak terbayang rasanya kasih beliau kepada Rasulullah SAW dan sy pun sama, rindu pd tanah suci sewaktu menaip entry ni :)



biq,
insya Allah, hanya Dia saja yg Maha Mengetahui...semoga kita dapat menjadi sebaik Saidina Abu Bakar :)



yantie,
sedang berusaha ke arah itu..insya Allah. terima kasih krn membaca :)



apie,
betul..sangatlah tinggi..dgn keadaannya yg berbatu mmg sukar pendakian ke puncak. sy pernah merasa apa yg sedara cakap iaitu sewaktu mendaki ke gua hira..penatnya hanya Allah yg tahu



musafir,
kamu bawak kereta ya di sana? berapa harga minyak di sini? sy ada dgr jgk yg minyak di sini murah. wallahualam



none,
kannn...tengok mertua keluarkan gigi palsu je dah cabut lari. hehehe. tapi sayang sungguh Saidina Abu Bakar pd Rasulullah SAW. akhirnya bersemadi jgk beliau di sisi baginda :)



maszuber,
insya Allah, aku tengah mencari cerita yg menarik utk berkongsi dan hrp travelog umrah ini bukan sekadar cerita yg biasa tapi terselit sirah2 Nabi. semoga kita mendapat hidayahNya dan termasuk di kalangan golongan yg beriman



creamy,
wasalam. sebenarnya aku ada terbaca byk versi mengenai Bukit Thur/Bukit Thursina ini.

1. Semenanjung Sinai di wilayah Mesir, lokasi di mana terdapatnya sebuah patung anak lembu yang bina oleh kaum Samiri iaitu pengikut Nabi Musa AS

2. Baitul Maqdis. Allah SWT berfirman, "Dan pohon kayu yg keluar dari Thursina (pohon zaitun) yg menghasilkan minyak dan menjadi makanan bagi orang2 yg makan" - (Ayat 20, Surah Al-Mu'minun). Dalam ayat ini menunjukkan perbezaan Bukit Thursina di Semenanjung Sinai dan di Baitul Maqdis di mana di Sinai tiada pohon zaitun yg mampu mghasilkan buah apatah lagi mengeluarkan minyak, sedangkan di Baitul Maqdis itu terdapat pohon zaitun tumbuh di situ sepanjang tahun

Apapun hanya Allah SWT sahaja yg Maha Mengetahui dengan lebih tepat mana satu Bukit Thursina yg dimaksudkan...wallahualam. sbnrnya aku tak berani nak komen sbb ini bukan bidang yg aku expert, cuma aku suka berkongsi kisah2 Nabi sbb cerita disebaliknya akan menginsafkan kita. semoga kita dapat mengenang kembali perjuangan para rasul yg berusaha menegakkan agama Allah. apapn terima kasih krn berkongsi pendapat :)

musafir 28 January 9, 2013 at 9:32 PM  

idok le nk bwk kete kt sana..naik teksi pun nk jatuh jantung..rasenye driver tu bwk teksi feeling tgh bwk F1, siap lepas stereng lg masa drive sbb nk test tayar.driver ni ada singgah stesen mnyk utk isik mnyk.sbb tu tau regenye murah, lg murah dr air botol.dalam bbrp posen je seliter, sbb driver tu bg 10riyal, nk penuh tank jgk la..kete vios.

jarimanis January 9, 2013 at 9:50 PM  

subnallah selepas baca entri ni baru sedar terdapat sejarah d sebaliknya mmg penuh informasi dan sedikt sebanyak bertambah kasih syg pd kekasih allah ni. tima kasih fatt :-)

apie arbath January 9, 2013 at 11:26 PM  

Fatt...nasib lah gua hira'(jabal nur)tu rendah sikit dr jabal thur ni....saya naik tengok gua hira' tu pon dekat 10 kali berenti..kepenatan.....pas tu banyak lak baboon batu duk bertenggek tepi tangga..tu...jangan leka pada barang yg dibawa silap2 selamba je dirampas olehnya....saba jer le....oh ye memang minyak disini lebih murah dan ron pon lebih rendah...klu x silap masa tu minyak diorg ron 95 dlm 60 sen seliter..ron91 dlm 45sen seliter....murah bangatt...:-)

Ms. Z January 10, 2013 at 10:05 AM  

thanks for sharing your precious experience :)

Janggel / Rain January 10, 2013 at 2:13 PM  

Fatt bertukar ke mood setazah. Alhamdulillah..
Seronok kan .
Deretan kedai di dalam gambar ko di atas tu mengingatkan aku pada kedai jual jus mangga yang sangat pure, lazat.

m.u.l.a.n January 10, 2013 at 3:23 PM  

rindu nak ke sana lagi..!!

Fatt January 12, 2013 at 3:12 AM  

musafir,
wahahaaa...lepas stereng? gile kentang le. oh harga minyaknya sen2 je?? mesia yg ada lubuk minyak pun caj mahal hmphhh...



jarimanis,
sama2 kita refresh balik apa yg kita belajar time skolah agama dulu..aku pun kdg2 lupa gak..huhuhu



apie,
sy naik gng hiraq tu sekerat je sbb letih yg lain mcm. boleh jadi faktor cuaca & diri yg tak berapa nak sihat jadi sy decide nak turun. klu diteruskan mgkin sy akan pengsan

ron91 45sen? masya Allah. ron95 pun dah murah tu...syukur...kaya jgk negeri Arab ni wlpun kering kontang



ms.Z,
ure most welcome :)



janggel,
sabor jelah. setazah la jgk sekali sekala..bila lagi..dah nak maghrib ni weh. jus mangga lazattt? apsal aku tak nampak lah pulakkk T__T



mulan,
mari kak kita mengulang :)

ajay March 24, 2014 at 8:18 AM  

Betul. Bukit thur dan bukit thursina adalah 2 tempat berbeza

ajay March 24, 2014 at 8:20 AM  

Betul. Bukit thur dan thursina adalah 2 tempat berbeza. Minta penulis membetulkan article di atas

Post a Comment

Terima kasih!!

  © Copyright Since 2010 | Backpacker Busuk

Back to TOP