Umrah : Padang Arafah, Jabal Rahmah & Terowong Mina - Ziarah Luar Kota Mekah (Part 2)

January 11, 2013

Sambungan dari entry sebelumnya.


Hari Keenam : 19 Jun 2011

Dari Bukit Thur kami menuju ke destinasi seterusnya di luar tanah haram iaitu Padang Arafah yang jaraknya kira-kira 18km dari kota Mekah. Bagi jemaah yang melaksanakan ibadah Haji, mereka dikehendaki berkumpul di sini sekurang-kurangnya sebelum atau di awal waktu zohor pada 9 Zulhijjah sehingga terbitnya fajar 10 Zulhijjah. Wukuf diwajibkan ke atas jemaah Haji kerana ia adalah detik kemuncak dan merupakan syarat utama sah Haji. Pada hari wukuf jemaah-jemaah dari seluruh pelusuk dunia tak mengira bangsa, warna kulit, pangkat, darjat dan latar belakang akan sama-sama berkumpul di Padang Arafah yang tersangat luas seolah-olah menggambarkan keadaan manusia di Padang Mahsyar kelak.

Aku pernah bertanya kepada mak tentang pengalaman beliau sewaktu mengerjakan ibadah Haji dulu. Katanya pada hari wukuf keadaan di Padang Arafah sangatlah sayu. Dalam tempoh itu para jemaah akan bermuhasabah diri, menilai amalan masing-masing dan ada yang menangis kerana terkenangkan dosa-dosa lampau. Selain itu mereka juga berzikir, bertalbiah, membaca Al-Quran dan memuji-muji kebesaran Allah SWT.

#1 - sempadan yang memisahkan di antara tanah haram (tanah suci Mekah) dan tanah biasa
(tanah haram hanya boleh dimasuki oleh orang Islam sahaja)
#2 - kebiasaannya tempat ni lengang kecuali pada musim Haji
#3 - papan tanda menunjukkan kawasan Padang Arafah
Diceritakan pada waktu itu Allah SWT akan berada dekat dengan orang-orang yang berwukuf untuk mendengar setiap keluhan dan menatap wajah mereka. Allah SWT akan memanggil para malaikat untuk berkumpul di langit Arafah sambil berfirman, “Lihatlah kepada hamba-Ku di Arafah yang lesu dan berdebu. Mereka datang ke sini dari pelbagai penjuru dunia. Mereka datang memohon rahmat-Ku sekalipun mereka tidak melihat-Ku. Mereka minta perlindungan dari azab-Ku, sekalipun mereka tidak melihat-Ku”.

Sesungguhnya Allah SWT sangat memuliakan hari wukuf kerana pada waktu inilah doa-doa akan diangkat dan segala dosa akan diampunkan. Rasulullah SAW telah bersabda, “Di antara berbagai jenis dosa, ada dosa yang tidak akan tertebus kecuali dengan melakukan wukuf di Arafah". Sewaktu berwukuf kita hendaklah menyatakan kekesalan dengan jujur, ikhlas, tanpa rasa sombong dan takbur terhadap Allah SWT kerana sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala-galanya. Rasulullah SAW juga pernah bersabda, “Yang paling besar dosanya di antara manusia adalah seseorang yang berwukuf di Arafah tapi berprasangka bahawa Allah tidak memberinya keampunan”. Sesungguhnya Allah SWT sangat murka pada manusia yang tak yakin dosanya akan dihapuskan sedangkan Allah SWT itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

#4 - Padang Arafah dari kejauhan
Kami tak berhenti di Padang Arafah, cuma sekadar melihatnya melalui tingkap sewaktu bas melalui kawasan tersebut. Sambil membayangkan betapa besarnya rahmat Allah pada hari wukuf, aku berdoa semoga dipanjangkan umur dan dapat kembali untuk menunaikan Haji. Aku masih teringat sewaktu mak menyatakan hasrat untuk membawa aku ke sini. Pada waktu itu aku cuma diam seribu bahasa dan selepas beberapa ketika aku menolak atas alasan tarikh yang mak pilih berselisih dengan trip aku. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui dan juga sebaik-baik perancang. Aku tak dapat bayangkan betapa ruginya aku pada hari ini kalau aku pilih trip duniawi sedangkan trip akhirat inilah yang dituntut-tuntut. Untuk itu aku sangat bersyukur kerana Allah telah membuka pintu hati aku. Walaupun aku belum lagi mencapai tahap yang sepatutnya tapi alhamdulillah banyak perkara yang dah berubah.

Akhirnya bas yang kami naiki berhenti di Jabal Rahmah yang terletak di sekitar Padang Arafah. Jabal Rahmah merupakan lokasi penting yang menyaksikan pertemuan di antara Nabi Adam AS dan Siti Hawa setelah beratus tahun lamanya terpisah. Kerana ingkar dengan perintah Allah serta terpedaya pada hasutan iblis maka mereka pun memakan buah khuldi yang terlarang dan dihantar ke dunia. Memandangkan tempat ini menjadi simbolik pertemuan di antara Nabi Adam AS dengan Siti Hawa maka ia telah dijadikan tempat untuk bermohon jodoh. Sebagai umat Islam yang percaya bahawa Allah itulah satu-satunya tempat untuk kita bermohon, maka pohonlah kepada Allah SWT dan bukan Jabal Rahmah. Malah lebih afdal jika permohonan itu disampaikan sewaktu berada dihadapan rumah-Nya Kaabah dan di tempat-tempat yang mustajab contohnya di antara pintu Kaabah dan makam Nabi Ibrahim AS.

*kisah Nabi Adam AS dan Siti Hawa dikeluarkan dari syurga boleh baca di sini untuk Part 1 dan Part 2 (kredit untuk penulis blog)

Aku tak panjat Jabal Rahmah jadi aku takde gambarnya. Aku cuma amik gambar unta yang ada di sekitar kawasan parkir. Tapi untuk tidak menghampakan pembaca, aku share sedikit gambar Jabal Rahmah yang aku jumpa di internet (kredit pada tuan punya gambar, terima kasih).

#5 - Jabal Rahmah [sumber gambar]
#6 - aktiviti seni di Jabal Rahmah [sumber gambar]
#7 - Jabal Rahmah yang kelihatan sekerat dalam gambar
#8 - seekor unta yang dihias cantik menunggu jemaah yang sudi menunggangnya
#9 - aku tak pasti berapa caj menunggang seekor unta, mungkin di antara SAR10 ke SAR20 untuk beberapa kali pusingan
#10 - memandangkan si unta yang agak tinggi, jadi kita kena panjat menggunakan tong biru ni
#11 - bukan unta je, tapi ATV pun ada
Dari Jabal Rahmah kami menaiki semula bas dan menziarahi kawasan seterusnya iaitu penempatan jemaah Haji di Mina. Walaupun cuma melihatnya dari tingkap bas tapi aku tetap merasa kagum sebab jumlah khemah yang beribu-ribu dan tersusun kemas di dalam grid. Dari atas boleh nampak semuanya putih dan bersih. Kami juga diberitahu yang khemah ini kalis api. Huh hebatnya! Apapun tempat ini nampaknya lengang sebab bukan musim Haji, bayangkan kalau musim Haji! Masya Allah.

Kemudian bas kami melalui terowong Mina yang panjangnya lebih kurang 3.5km. Keadaan terowong ni sama macam terowong Menora di antara Ipoh dan Kuala Kangsar cuma waktu aku pegi dulu hanya ada 2 terowong iaitu untuk pergi dan balik tapi sekarang dah bertambah lagi satu untuk menampung bilangan jemaah yang semakin ramai. Sebelum adanya terowong tambahan ini pernah berlaku satu peristiwa buruk yang telah mengorbankan jumlah nyawa yang banyak iaitu tragedi terowong Muassim.

#12 - ribuan khemah kalis api di Mina
#13 - terowong Muassim

Kejadian tersebut berlaku setahun selepas orang tua aku pegi dan pada waktu tu ramai jemaah Malaysia yang terkorban. Disebabkan pada waktu tu cuma ada satu terowong, maka banyak jemaah yang bertembung lalu jatuh dan mati dipijak. Bayangkan cuma ada satu terowong dan itulah terowong yang sama digunakan untuk berulang-alik. Tapi sekarang keadaan dah bertambah baik bila setiap terowong dikhaskan untuk satu arah dan selepas itu kadar kemalangan pun dapat dikurangkan.

*kisah pengalaman seorang hamba Allah yang terselamat dari tragedi terowong Muassim boleh dibaca di sini

Memetik baris terakhir dalam keratan berita di atas, "Ketika berjalan tanpa peta, di sebuah negara asing, tiada sanak saudara yang hendak dihubungi, terasa betapa dekatnya diri dengan Allah. Hanya Allah ada di hati, di lidah dan di fikiran. Itulah saatnya saya merasakan tawakkal saya berada di puncak". Perasaan aku bagai dijentik bila terbaca perenggan ni. Hanya orang yang pernah merasai saja yang paham betapa dalamnya maksud ayat ni.

Aku tanya pada mak macam mana perasaan berjalan kaki dalam terowong yang panjang berulang-alik dari khemah ke jamrah, tak penat ke? Kata mak tak penat sebab jalan beramai-ramai, lagipun masa tu dah tak fikir apa, memang berserah semuanya pada Allah. 

*cerita terowong di Mina boleh ketik di sini, sini dan sini

Selain jumlah terowong yang bertambah, jambatan untuk kemudahan melontar pun ditambah. Ibadah melontar perlu dilakukan ke atas tiga (3) jamrah iaitu Sughra (Ula), Wusta dan Kubra (Aqabah). Kesemua penambahbaikan ini adalah untuk keselesaan selain menampung bilangan jemaah yang semakin ramai.

#14 - jemaah Haji sedang melakukan lontaran di jamrah [sumber gambar]
#15 - salah satu pemandangan yang menarik di kawasan ini
#16 - bangunan-bangunan yang terdapat di Mekah
Cuba bayangkan waktu zaman atok opah kita pegi Haji. Naik kapal ramai-ramai, duduk atas laut berminggu-minggu (macam cerita Life of Pi #tetiba). Jauh sungguh perjalanan dorang pada waktu tu, tak macam sekarang, semuanya ekspres. Tak payah naik unta, boleh naik bas dan LRT di antara Mina, Mudzalifah dan Arafah, beruntung sungguh orang sekarang. Orang dulu bila nak pegi Haji pun dah buat kenduri besar jemput satu kampung, manalah tau kalau-kalau tak balik langsung (meninggal).

Aku teringat sewaktu arwah Atok masih ada, setiap kali kami bercerita pasal Mekah, mesti arwah Atok akan bercerita pasal 2 orang anaknya yang bernama Abdul Rahman dan Abdul Rashid. Abdul Rashid ni meninggal sewaktu arwah Atok melahirkan dia di Mekah dan Abdul Rahman pula sebab demam panas. Kedua-dua kisah ni berbeza kejadiannya sebab arwah Atok pernah ke sana berkali-kali. Aku cuba tanya Abah kenapa Abdul Rahman tu meninggal. Kata Abah masa tu dorang tengah letak barang atas unta, tiba-tiba unta tu mengerang dengan kuat dan dia pun terkejut. Masa tu arwah masih kecik, masih budak jadi mungkin disebabkan itulah dia lemah semangat. Tak lama selepas kejadian arwah mengalami demam panas dan meninggal dunia di Mekah.

Macam mana bunyik unta? Hurm..aku tak leh nak cerita macam mana bunyik unta tapi rasanya lagi keras dari bunyik kuda. Nanti ada masa aku tepek video di ladang unta so bolehlah korang dengar macam mana suara unta mengerang. Aku yang pertama kali dengar pun lemah semangat jadi bayangkanlah.

Cuma aku tertanya-tanya macam mana kalau ada jemaah yang meninggal dunia di atas kapal. Adakah jenazahnya akan di simpan sampai selamat berlabuh? Atau dikebumikan di dalam.....laut? Wallahualam. Aku rasa ramai jugak ahli keluarga kita terutamanya sekali Tok Wan, Tok Nek dan "orang-orang lama" yang penah naik kapal laut pegi ke Mekah. Kalau mereka masih hidup cubalah korek ceritanya sebab memang menarik. Tapi kalau mereka dah takde sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah, semoga roh mereka dicucuri rahmat dan tergolong di kalangan orang-orang yang beriman, Insya Allah.


bersambung....
.

6 comments:

Naramas Aman January 11, 2013 at 10:19 AM  

Salam Fatt,
Arwah ibu dan ayah saya ke Mekah menaiki kapal. Mereka kata jemaah yang meninggal di dalam kapal, dikuburkan ke dalam laut. Gambar-gambar jenazah yang dimasukkan ke laut pernah saya lihat.

faizal January 11, 2013 at 10:25 AM  

Quote balik ayat drpd blog Ummu Waheedah..." Tak dapat saya bayangkan jika kejadian itu berlaku ketika usia saya lebih 60 tahun. Dapatkan saya berjalan segagah itu?"....Syukur kita skrg...

Biqque January 11, 2013 at 12:30 PM  

tok aku dulu slalu cite kat cucu2 dia pasal pengalaman dia pi haji naik kapai berbulan2, mmg best gile sampai nganga2 aku dengar. alhamdulillah selamat pi selamat balik, skang ni pun slamat dah dia menemui penciptaNya.

alhamdulillah la skang kerajaan saudi dah buat macam2 utk elakkan apa yg penah berlaku. insyaAllah sume dah ok.

soklan : batu2 yg dilontar dlm lubang tu, akankah diangkut balik patu letak kat tanah haram?

Fatt January 12, 2013 at 3:33 AM  

naramas,
wasalam prof, jadi betullah apa yg sy jangkakan? huuu...sy penah tengok dlm pilem org putih je dorg campak mayat ke dalam laut, tak sangka mmg betul. semoga roh mereka dicucuri rahmat



faizal,
syukur. ente pun cepat2lah pegi haji sementara anak ente masih kecik..sementara lutut masih belum longgar dan belum bongkok tiga



biq,
kebanyakan mereka yg penah ke Mekah dgn kapal laut nmpknya dah meninggal ye. iyelah, tahun berapa masa tu..zmn jepun agaknye..wallahualam.

soalan ko aku blum sempat tanya kat org yg arif, nanti aku dah dapat jwpnnya aku bagitau

Lavender January 13, 2013 at 1:26 AM  

Pengalaman best dapat ke Jabal Rahmah..

Tahniah Fatt ko dijemput oleh Allah swt untuk menjadi tetamu Nya =)

Fatt January 23, 2013 at 9:47 AM  

lavender,
alhamdulillah..syukran

Post a Comment

Terima kasih!!

  © Copyright Since 2010 | Backpacker Busuk

Back to TOP