Umrah : Makam Nabi Ibrahim

March 08, 2013

Wah hebatnya (baca : hampehnya) aku update blog 2 minggu sekali. Bila nak habis ni!!

Sambungan dari entry sebelumnya.


Hari Kelapan : 21 Jun 2011

Program ziarah luar pun berakhir dengan bermiqat di Masjid Hudaibiyah. Selepas itu rombongan kami dibawa balik ke Mekah untuk menyempurnakan ibadah umrah.

Keadaan di Masjidil Haram pada waktu ini seperti biasanya meriah dengan jemaah yang datang untuk beribadat. Alhamdulillah dengan izin Allah sedikit pun aku tak berasa susah sewaktu melakukan tawaf walaupun cuaca sangat panas. Untuk rekod, hari ini adalah hari kelapan aku berada di tanah suci dan masih ada lima hari sebelum aku balik ke Malaysia. Tanyalah siapa pun, kalau boleh semuanya taknak balik sebab seronok. Bukan seronok macam panjat Great Wall China atau naik cruise di Milford Sound, tapi satu perasaan yang buat kita rasa betul-betul dekat dengan Pencipta.

#1 - tawaf di bawah panas terik
Sepanjang berada di sini aku kerap berdoa dan itulah doa yang berulang-ulang aku baca sejak dari hari pertama sampailah hari terakhir berada di tanah suci. Walaupun ada doa yang belum termakbul tapi aku tetap bersyukur sebab rahmat yang Allah bagi pada aku sampai hari ini pun dah cukup. Contoh paling mudah ialah sihat tubuh badan, syukur alhamdulillah.

Aku teringat cerita Ustaz Zul masa sesi tazkirah dulu. Katanya jangan sedih bila doa tak dimakbulkan. Boleh jadi apa yang kita mintak belum sampai masanya jadi Allah tangguhkan. Ataupun apa yang kita mintak mendatangkan mudarat jadi Allah gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Tapi andai kata kita meninggal waktu doa kita ditangguhkan, maka Allah akan gantikan doa tersebut dalam bentuk pahala. Wallahualam. Jadi tak perlulah kita berasa sedih atau berburuk sangka bila doa kita tak dimakbulkan sebab percaturan Allah SWT memang cukup sempurna :-)

#2 - Makam Nabi Ibrahim

Bila selesai urusan tawaf, solat sunat dan sebagainya, aku pun cuba mencari peluang untuk mendekati Makam Nabi Ibrahim. Kalau nak tau inilah kali pertama aku dapat melihat Makam Nabi Ibrahim secara dekat. Kebetulan pulak waktu ni orang tak ramai, tapi masih ada polis yang duduk berkawal di sekitar makam sebab ada jemaah yang mengusap dan mengucup bangunan makam. Yang sebenarnya makam ini bukanlah perkuburan Nabi Ibrahim sebaliknya di sinilah tapak kaki Nabi Ibrahim dipamerkan.

Kisah berlaku sewaktu Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail diperintahkan Allah untuk membina semula Kaabah. Oleh kerana tapak binaan Kaabah itu tinggi, maka Nabi Ibrahim pun menyusun naik batu-bata dan Nabi Ismail pula mengutip batu-batu yang besar. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama anaknya Nabi Ismail meninggikan binaan (tapak) Baitullah (Kaabah) sambil keduanya berdoa dengan berkata, Wahai Tuhan kami! Terimalah, daripada kami amal kami sesungguhnya Engkau Amat Mendengar lagi Amat Mengetahui” - Surah Al-Baqarah, ayat 127.

Apabila binaan sudah meninggi, Nabi Ismail pun menghulurkan batu besar yang cukup tinggi untuk diambil oleh Nabi Ibrahim sehingga siap pembinaannya. Dengan kehendak Allah SWT sebaik sahaja Nabi Ibrahim meletakkan kakinya di batu besar tersebut maka terlekatlah tapak kaki Nabi Ibrahim seperti yang dapat kita lihat pada hari ini. Peristiwa ini menunjukkan betapa besar kuasa Allah SWT dan sebagai peringatan kepada seluruh umat manusia.

#3 - bekas tapak kaki Nabi Ibrahim
Bekas kedua tapak kaki Nabi Ibrahim masih jelas kelihatan dan saiznya 27cm (panjang), 14cm (lebar) dan 10cm (dalam). Untuk memelihara makam ini maka sebuah kandang besi berbentuk sangkar burung telah dibina dan bekas tapak kaki baginda telah disadur dengan perak. 

Setelah selesai pembinaan Kaabah maka Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim menyeru umat manusia menunaikan Haji di Baitullah. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan serulah umat manusia untuk datang mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang ke (Rumah Allah)mu dengan berjalan kaki, dengan berkenderaan berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh” - Surah Al-Haj, ayat 27.

Selepas itu Nabi Ibrahim naik ke Jabal Abi Qubais iaitu gunung yang paling dekat dengan Baitullah dan di sana baginda menyeru dengan nama Allah, “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Tuhan kamu telah membina satu rumahNya bagi kamu, oleh itu hendaklah kamu semua menunaikan Haji di sana”

#4 -  seluruh umat Islam dari berbagai bangsa, warna kulit, bahasa dan mazhab berkumpul di sini

Nabi Ibrahim menyeru ke kanan dan ke kiri seperti orang yang melaungkan azan dan seruan baginda itu Allah SWT sampaikan kepada setiap manusia yang diciptakan. “Labbaikallahhummalabbaik” yang bermaksud, "Aku datang untuk menunaikan panggilanMu Ya Allah". 

Makam Nabi Ibrahim yang sebetulnya terletak di Hebron, kira-kira 30km di selatan Baitulmaqdis di kawasan Tebing Barat Palestin. Hebron juga terkenal sebagai Kota Tiga Nabi iaitu Nabi Ibrahim, Nabi Ishak dan Nabi Yaakub. Sebuah masjid bernama Masjid Ibrahim telah didirikan di atas tanah yang dahulunya terdapat sebuah gua iaitu Gua Para Leluhur (dalam Bahasa Inggeris dipanggil Cave of  Patriarchs). Di sinilah Makam Nabi Ibrahim dan isterinya Sarah serta Nabi Ishak dan Nabi Yaakub berserta isteri-isteri mereka dimakamkan. Apa yang menarik tentang Masjid Ibrahim ialah ia dibahagikan kepada 2 bahagian yang mengasingkan kawasan solat untuk orang-orang Islam dan orang-orang Yahudi (Jewish). 

Sedikit kisah tentang Nabi Ibrahim. Baginda mempunya dua isteri iaitu Siti Sarah dan Siti Hajar. Siti Hajar adalah isteri kedua Nabi Ibrahim dan melaluinya lahirlah Nabi Ismail. Pada waktu itu Siti Sarah mandul dan beliau merasa cemburu dengan Siti Hajar kerana beliau lebih cantik sedangkan Siti Hajar berkulit hitam. Tak lama selepas kelahiran Nabi Ismail, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim membawa mereka berdua ke sebuah kawasan padang pasir yang tandus (sebelum ia dikenali sebagai Mekah). Maka ditinggalkan mereka anak-beranak di tengah padang pasir dan Nabi Ibrahim pun kembali semula ke Hebron. Semasa peninggalan Nabi Ibrahim, Siti Hajar telah berlari-lari di antara Safa dan Marwah dan terpancutlah air zamzam dari permukaan tanah. Begitulah kisahnya. Nak baca lebih lanjut boleh ketik sini.

Selepas perpindahan Siti Hajar, dengan kuasa Allah SWT maka Siti Sarah pun mengandung dan melaluinya lahirlah Nabi Ishak. Pada waktu itu Siti Sarah berusia 90 tahun dan Nabi Ibrahim 120 tahun. Peristiwa ini tercatat dalam ayat 72 & 73, Surah Al-Hud yang bermaksud :

"Isterinya berkata: "Sungguh ajaib keadaanku! Adakah aku akan melahirkan anak padahal aku sudah tua, dan suamiku juga sudah tua? Sesungguhnya kejadian ini suatu perkara yang menghairankan. Malaikat-malaikat itu berkata: "Patutkah engkau merasa hairan tentang perkara yang telah ditetapkan oleh Allah? Memanglah rahmat Allah dan berkatNya melimpah- limpah kepada kamu, wahai ahli rumah ini. Sesungguhnya Allah Maha terpuji, lagi Maha Melimpah kebaikan dan kemurahanNya".

#5 - sunat meminum air zamzam selepas selesai urusan tawaf (lokasi : paip air zamzam di luar kawasan tawaf)
Jadi bayangkanlah betapa hebatnya kuasa Allah SWT. Tiada apa yang mustahil jika dikehendakiNya seperti yang disebut dalam Al-Quran sebanyak 8 kali iaitu "Kun Fayakun" yang bermaksud "Jadilah engkau! Maka jadilah ia". 

Diriwayatkan bahwa Nabi Ibrahim wafat pada usia 175 tahun, Nabi Ismail pada usia 137 tahun dan Nabi Ishak pada usia 180 tahun. Orang-orang Yahudi dan Kristian mengiktiraf Nabi Ibrahim, Nabi Ishak dan Nabi Yaakub sebagai Nabi Allah tapi tidak pada Nabi Ismail dan Nabi Muhammad SAW. Pada pendapat mereka keturunan Bani Israel adalah bangsa yang mulia kerana mereka terdiri daripada keturunan nabi dan rasul sedangkan Nabi Ismail dan Nabi Muhammad adalah dari keturunan bangsa Arab. 

Dari Makam Nabi Ibrahim aku beransur ke tempat saie sebab ibadah umrah masih lagi belum selesai. Cerita bagaimana melakukan saie aku pernah cover dalam entry sebelumnya jadi korang bolehlah cari kalau nak. So dari sini dan seterusnya aku biarkan gambar-gambar yang bercerita, ok!

#6 - lorong saie yang sentiasa dipenuhi jemaah
#7 - jemaah mengangkat tangan ke arah kaabah dan bertakbir
#8 - lorong khas saie bagi jemaah yang uzur dan menggunakan kerusi roda
#9 - pakaian ihram bagi kaum lelaki
#10 - paip air zamzam yang terdapat di lorong saie
#11 - tempat pengakhiran saie iaitu di Bukit Marwah
#12 - sekali lagi aku merasa solat Zohor di lorong saie
#13 - suasana selepas solat Zohor di pintu Masjidil Haram
#14 - lautan manusia

Selepas waktu zohor kami pun balik ke hotel untuk makan tengahari. Tapi aku dan Ayie tak balik terus, kami menyimpang ke kedai sebab nak cari barang yang dikirim oleh seorang kawan. Bila sampai di hotel kami terkejut sebab nampak ramai orang berdiri kat depan pintu lif dan setelah mengintai rupa-rupanya lif rosak. Daripada 3, tinggal 1 yang masih elok. Oleh sebab tak sanggup nak menunggu jadi kami amik keputusan untuk panjat tangga walaupun biliknya jauh di tingkat 9.

Sambil mendaki tangga kami berbual-bual. Tiba-tiba... 

"Akak, Ayie nak cakap satu benda ni tapi akak jangan marah"

Intro macam ni selalu bikin rama-rama terbang dalam perut aku. Gulp!

"Ape dia? Cakaplah"

Aku mula tak senang hati. Takut ada benda yang tak sedap didengar.

"Sebenarnya tadi Ayie doa mintak nak cepat kurus"

"HAH?"

Aku tak paham apa kaitan doa mintak kurus dengan aku tak boleh marah.

"Ishkk akak ni slowlah. Rasanya sebab tulah lif rosak. Sorry!" 

"Serius??? Ko biar betul!!!"

"Betul ni. Ayie tak tipu. Memang tadi Ayie mintak doa nak cepat kurus"

Memang betul. Kat Tanah Haram kita boleh mintak apa saja sebab Insya Allah akan dimakbulkan. Semuanya bergantung pada cepat atau lambat sesuatu permintaan itu ditunaikan. Mana ada jalan cepat nak kurus? Mesti kena exercise, betul tak? Heh!

Waktu kami nak ke masjid untuk solat Asar pun lif masih rosak dan begitulah seterusnya sampailah waktu maghrib. Dugaan! Dugaan! 

#15 - waktu malam lagi ramai
#16 - cantik kan mimbar Masjidil Haram?
#17 - ruang solat bawah
Oleh kerana kami yakin lif masih rosak jadi selepas waktu Isyak kami sekeluarga pergi berjalan-jalan di sekitar kawasan hotel. Kalau nak tau waktu malam kat sini memang happening, tak macam siang. Mungkin sebab lepas waktu Isyak ada masa yang panjang untuk berjalan-jalan, lagipun cuaca pada waktu malam tak sepanas waktu siang.  

#18 - kedai emas
#19 - motor kebun sape tah selamba je parking tetengah alam
#20 - cantik noo!! bling! bling!
#21 - bazaar Pak Arab
#22 - inai Mekah
#23 - selain jubah, kurta pun ada
#24 - cantik-cantik jubah ni
#25 - sape nak naik sheikh boleh beli nih
Dari satu kedai ke kedai yang lain kami mencari barang-barang yang boleh dibawa balik ke Malaysia. Di antara kesemua kedai, aku paling suka kedai kurma sebab boleh makan free. "Halal! Halal!". Wah syok betul aku waktu ni sebab dapat test semua kurma termasuklah kekacang pistachio yang mahal melantun-lantun! 


bersambung....
.

16 comments:

Fariha Nazeem March 8, 2013 at 12:42 AM  

macam baca buku sejarah nabi plakkan...heheh...

Fatt March 8, 2013 at 1:16 AM  

fariha,
alang2 menaip kasi keluar habis cerita..hehe. ikutkan pjg lagi tapi aku dah tak sabar nak tekan button publish

takky March 8, 2013 at 1:58 AM  

slow la pula line tenet nie...
x dpt nk tgk byk gamba dlm entri nie...
:(

pape pun rasa klaka plak time scene nek tangga 2...
hihihihihih

Naramas Aman March 8, 2013 at 6:35 AM  

Salam,
Orang yang pernah ke Mekah akan rindu untuk datang lagi sebab Kaabah akan memanggil-manggil kita. Ketenangan dan kebahagiaan berada di sini tidak sama dengan keseronokan di tempat lain (di luar tanah haram). Doa kita amat mustajab di sini. Antara tempat-tempat mustajab berdoa adalah multazam, hijr Ismail, Rukun Yamani. Doa akan Allah makbulkan samada cepat atau lambat. Kadang-kadang yang kita minta itu Allah gantikan dengan yang lain.

Saya suka shopping jubah di sana :)

dzuchan March 8, 2013 at 7:55 AM  

fatt, aku pun pernah baca yang pasal doa tu, kalau Allah tak makbulkan di dunia, dia akan makbulkan di akhirat & aku baca jgk yg kita tak bole doa dlm keadaan tergesa2 ( harap Allah makbulkan cepat)

btw, aku suka gambarajah anda :-)

Biqque March 8, 2013 at 8:39 AM  

weh fatt, terer la ko, byk tul gmbar ko amik kat sana! aku sukaaaaaaaaaa sgt! mekasih fatt...

(serius, pak arab tak tangkap ke masa tu? takpe kot kan?)

p/s: pak ein tu namanya sempena nabi ibrahim :) tah bila nak naik haji tatau la, insyaAllah...

Razfira March 8, 2013 at 9:38 AM  

Ya Allah sy mmg teringin sgt nak ke sini

ini wishlist sy dlm tahun ini

doakan saya! :)

entri yg detail.. i like it

ceklala March 8, 2013 at 11:08 AM  

seronoknye tengok gamba2 fatt...saya pegi aritu tak berani sangat nak tangkap gamba takut kene marah hihi

AjlaA March 8, 2013 at 11:16 AM  

salam, kak

mcm ade typo

Orang-orang Yahudi dan Kristian mengiktiraf Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Nabi Yaakub sebagai Nabi Allah tapi tidak pada Nabi Ismail dan Nabi Muhammad SAW.

Nabi Ismail berulang dua kali. rsnya salah satu Nabi Ishak kan

azieazah March 8, 2013 at 9:53 PM  

Bestnya sebab ada banyak gambar istimewa di Mekah yg jarang orang tunjukkan. Ramai orang ke sana, snap gambar tapi ada rasa segan segan nak kongsi. Thanks Fatt..

Suka tengok suasana di sana dari pelbagai sudut.

Kak Mahh March 8, 2013 at 11:38 PM  

Teruja nak merasai pengalaman ini.

Fatt March 9, 2013 at 9:25 PM  

takky,
pakai celcom ke?



naramas,
wasalam...betul tu prof. yg penting kita sabar dalam berdoa..insya Allah. yup, jubah kat cni cantik walaupun hitam saja :)



dzuchan,
berdoa dalam bersabar..Dia saja nak uji kita :)

gambarajah? yg mana?



biq,
aku sambil2 je biq..apa aku tgk aku snap..sbb klu rindu2 nanti bleh aku tengok..hehe :)

ko doa2 la pak ein nanti sampai..sape tahu korang sampai sana anak beranak..Allah Maha Mengetahui...btw congrats..happy for ur pregnancy :)



razfira,
ameen ya rabbal alamin. semoga hajar awak ditunaikan, insya Allah :)

Niza Zainal March 9, 2013 at 9:52 PM  

Salam Fatt.. detail gambar.. suke.. rasa mcm dah sampai sana.. Insya Allah satu hari nanti..

Fatt March 9, 2013 at 10:17 PM  

ceklala,
sama2..haritu sy takut2 jgk esp dalam masjidil haram. tapi alhamdulillah takde apa2..cuma jangan terlalu obvious la :)



ajlaa,
wasalam...makasih ajlaa..akak tak pasan sbb laju sangat taip..dah betulkan..thanks :)



azie,
alhamdulillah masa ni takde halangan waktu sy amik..dipermudahkan..seronok sbb dpt berkongsi gambar2 di sini dgn semua..dapat menambah rasa rindu ke sini :)



kak mahh,
insya Allah suatu hari nanti kak :)



niza,
wasalam...terima kasih..ameen, saya doakan :)

Huda Ainiyah March 18, 2013 at 4:15 PM  

Alaaa..habiskan la cepat cite Umrah. Bape hari je lagi.
Terima kasih utk cite tauladan dan panduan.

Hj.zul May 18, 2013 at 2:15 PM  

Assalamualaikum Cik Fatt,
Sebenarnya Nabi Ibrahim a.s. mengahwini 3 isteri.Selepas kematian Hajar(isteri ke 2) telah mengahwini Qanturah Bt.Maftur drp suku Arab 'Aribah.Daripada Qanturah,lahirlah Madan,Madyan,Qisan,Zamran,Yasbak dan Suh(sumber:Hajar Al-Misriyah Ibu Bangsa Arab,Abdul Hamid Jaudah Al-Sahhar.Dewan Bahasa dan Pustaka)

Post a Comment

Terima kasih!!

  © Copyright Since 2010 | Backpacker Busuk

Back to TOP