Umrah : Ladang Unta - Ziarah Luar Kota Mekah (Part 3)
January 22, 2013
Maaf dah lama tak update. Jom kita sambung travelog umrah dari episod sebelumnya.
Hari Kelapan : 21 Jun 2011
Solat subuh di Masjidil Haram sangatlah meriah dengan ribuan jemaah seperti solat Jumaat dan solat Aidil Firti di Malaysia. Namun dalam kemeriahannya pada pagi ini telah berlaku satu peristiwa yang tak boleh aku lupakan. Semasa solat subuh tadi aku dapat mendengar dengan jelas suara imam sedang menangis sewaktu mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Walaupun dalam keadaan sebak tapi suara beliau tetap lunak dan menggamit perasaan. Aku cuba meneka maksud yang tersirat di sebalik surah yang dibacanya tapi apakan daya Bahasa Arab aku hanya cukup-cukup makan.
Aku ajukan soalan tersebut kepada Abah sewaktu kami berjalan balik dari masjid. Kata Abah, imam itu menangis sebab ayat Al-Quran yang dibacanya tadi menceritakan tentang peristiwa yang akan berlaku pada hari kiamat. Selepas mendengar penjelasan Abah aku pun berfikir. Siapalah aku kalau dibandingkan dengan imam tersebut, macam langit dan kerak bumi. Kalau beliau yang tinggi ilmu agama dan soleh pun takut, macam manalah aku yang tak seberapa ni nak berdepan dengan Allah?
Sewaktu sampai di hotel jam sudah menunjukkan pukul 6.30pg dan pada waktu ini langit sudah terang benderang. Seperti yang dijanjikan, hari ini kami akan dibawa berjalan-jalan dalam satu program ziarah luar. Maka selepas bersarapan rombongan kami pun bertolak dari hotel dengan menaiki sebuah bas persiaran. Setelah menempuh perjalanan selama 30 minit bas yang kami naiki berhenti di tepi jalan. Aku yang tengah sedap bersandar terus menjenguk ke luar tingkap. Dah sampai ke? Tapi macam takde apa pun kat luar ni kecuali padang pasir. Tiba-tiba aku ternampak kelibat beberapa ekor unta yang dikepung dalam satu kawasan. Mungkin ini kot ladang untanya!
| #1 - sekumpulan unta di tengah padang pasir. barangkali yang putih ini lori air, wallahualam |
| #2 - ladang unta yang kami singgah |
Ladang unta di Tanah Arab bukanlah seperti ladang ayam atau ladang ternakan haiwan yang biasa kita lihat di Malaysia. Memahami bahawa habitat haiwan ini yang tinggalnya di padang pasir maka di sinilah ladangnya!
Aku segera mengikut jemaah lain keluar dari perut bas dan berjalan menuju ke ladang unta. Rasanya inilah kali pertama aku melihat unta secara dekat. Pada pendapat aku unta adalah haiwan yang comel dan mempunyai bulu mata yang lebat. Ia juga kelihatan sangat tinggi berbanding kuda, jinak dan suka mendekati manusia.
Aku juga sempat menyaksikan adegan perebutan susu di antara si pengembala dan anak unta. Kalau diperhatikan pada gambar dibawah, kelihatan ada tali yang mengikat pada badan si unta. Sebenarnya di bawah tali ini ada sejenis kantung yang digunakan untuk "menyorokkan" susu ibu daripada diminum oleh si anak. Jadi bila si pengembala ini cuba memerah susu, maka si anak akan datang dan cuba mencari peluang untuk meminum susu ibunya. Bila ditengok adegan ini aku merasa kesian pada si anak sebab tak mendapat haknya. Bila si pengembala memerah susu si ibu, maka si ibu akan mengerang kesakitan dan suaranya sangatlah menakutkan. Aku penah cerita dalam entry dulu pasal suara unta kan? Boleh tengok rakaman di bawah tapi sila abaikan suara latar di belakang.
| #3 - pengembala dan anak unta sedang berebut susu |
#4 - tak taulah mak lampir mana yang gelak dalam video ni
| #5 - anak-anak unta yang comel |
Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan unta dengan pelbagai jenis kebaikan. Selain menjadi medium pengangkutan yang membawa manusia dan mengangkut barangan, tahukah anda keistimewaan-keistimewaan lain yang terdapat pada unta?
Allah SWT telah berfirman, "Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta, bagaimana ia diciptakan?" (Ayat 17, Surah Al-Ghasiyah).
Dalam ayat ini Allah SWT telah menyuruh manusia melihat pada kejadian unta. Haiwan ini merupakan bukti kekuasaan-Nya kerana ia bukan saja mampu bertahan dalam cuaca padang pasir yang ekstrem tapi juga boleh hidup tanpa air selama 3 minggu!
| #6 - ibu dan anak unta yang sedang berehat |
| #7 - anak unta yang aktif |
Allah SWT menciptakan unta dengan sifat yang cukup sempurna. Bonggol yang terdapat pada badannya menjadi tempat untuk menyimpan lemak yang akan memberikannya tenaga sewaktu terputus bekalan makanan. Perhatikan juga kaki unta yang tapaknya bercabang dua. Ia diciptakan sebegini supaya membolehkan unta berdiri tegap sewaktu mengangkat muatan yang sarat dan tidak tenggelam di dalam pasir. Permukaan lutut unta juga dilindungi dengan sejenis lapisan kulit yang tebal yang tidak akan menjadikannya melecet bila ia duduk di atas pasir yang panas.
Bulu mata unta juga diciptakan unik kerana ia sangat halus dan berupaya menyekat pasir daripada memasuki matanya. Sama juga dengan telinga dan hidungnya yang dilindungi bulu-bulu halus yang dapat menghalang pasir daripada memasuki rongga-rongga tersebut. Sebab itulah unta dipanggil raja padang pasir sebab hanya ia saja haiwan yang boleh berjalan steady walaupun dalam keadaan ribut pasir.
Banyak lagi keistimewaan-keistimewaan unta yang boleh kita baca di internet tapi aku suka nak berkongsi link ini untuk bacaan semua : http://tajdid-dakwah.blogspot.com/2010/05/hikmah-dan-kelebihan-unta.html
| #8 - nampak macam harmless tapi takut jugak sebenarnya. tak caya tengok reaksi makngah...hihi :-) |
| #9 - susu unta, SAR5 sebotol |
| #10 - pengembala unta |
Selain keistimewaan tersebut, tahukan anda bahawa susu dan air kencing unta dapat menyembuhkan penyakit? Kalau susu unta memang kita yakin nak minum tapi kencing unta? Wallahualam. Aku tak berapa arif nak ulas tentang isu halal haram penggunaan kencing unta dalam bidang perubatan Islam. Tapi kajian sains telah mendapati bahawa ia mengandungi agen-agen yang boleh melawan penyakit contohnya kanser, rambut gugur, kelemumur, asma, masalah hati dan lain-lain.
Bacaan lanjut mengenai penggunaan kencing unta sebagai alternatif perubatan boleh rujuk di link ini http://ibnnajib.blogspot.com/2012/03/kencing-dan-susu-unta-dalam-sudut_12.html. Walau apapun, silalah rujuk pada pakar agama sebelum mengambil sesuatu pendapat sebagai panduan.
Sebenarnya ada satu peristiwa pelik bin ajaib yang berlaku semasa aku berada di ladang unta. Pada aku ianya pelik sebab lokasi kejadian yang berlaku di Tanah Arab. Begini kisahnya.... Masa aku dan Ayie sedang bergilir-gilir mengambil gambar di tepi ladang unta tiba-tiba datang seorang pengembala dan dengan dengan selambanya beliau berposing di sebelah aku sambil meletakkan tangannya ke atas bahu macam gaya ala-ala member kamceng. Kejadian tersebut berlaku dengan begitu pantas sepantas butang shutter dipetik. Hasilnya dapatlah gambar muka aku yang tengah confuse. Mana gambarnya? Ada, tapi aku malas nak tepek jadi bayangkan jelah.
*kredit kepada penulis-penulis artikel, terima kasih
bersambung....
.






