Nepal : Hari Terakhir Sebelum Bermula Pendakian

July 10, 2014

*sambungan dari sini.
*sesiapa yang berminat untuk merasai pengalaman white water rafting di Sg Padas pada 23 Ogos 2014 ini sila pm ke fb BackpackerBusuk, terima kasih.


Sudah masuk hari kedua kami berada di Nepal dan pagi ini kami akan meneruskan perjalanan ke Pokhara. Aku, K dan Ila bangun awal jadi selepas subuh kami naik ke rooftop untuk menikmati panorama matahari terbit. Pagi di sini tenang, tiada bunyi kereta dan motor memecah keheningan seperti kebiasaan yang berlaku pada hari bekerja di Kuala Lumpur.

Aku menghembus nafas lega. Sudah lama aku menunggu peluang untuk pergi bercuti. Sebenarnya otak aku dah tepu sebab asyik menghadap kerja yang menimbun. Paling kurang 3 bulan sekali, tak kisah sama ada di dalam atau pun di luar Malaysia. Sekadar mencari perspektif baru dan motivasi. Seperti orang lain aku juga bekerja keras demi memenuhkan tabungan. Hobi berjalan sememangnya mahal, tapi murah kalau kena pada tempatnya. Walau belum pernah lagi sampai ke benua Eropah, benua Asia-Barat, benua Afrika dan benua Amerika, tapi aku tetap bersyukur dengan apa yang aku kecapi setakat hari ini. Bagi aku kita tak perlu terikut-ikut dengan cara orang lain kerana kemampuan kita berbeza. Begitu juga aku yang mengambil masa bertahun-tahun untuk meneroka sampai ke tahap ini.

menikmati panorama matahari terbit dari bumbung guesthouse

Berbalik pada cerita. Sebenarnya aku suka pergi ke negara seperti Nepal sebab ia membuatkan aku rasa bersyukur dengan apa yang ada. Kalau nak tahu di Nepal bekalan elektrik sentiasa terputus/dipadamkan terutamanya pada waktu siang. Mereka juga banyak bergantung kepada generator untuk menjana kuasa elektrik. Lazimnya perkara seperti ini berlaku di pulau-pulau, tapi di sini biasa.

Lagi satu pasal jalan raya. Jangan mimpi nak sampai cepat sebab jalan raya di sini bukanlah kategori highway. Selain kondisi yang kurang memuaskan, ia agak sempit dan berbengkang-bengkok disebabkan faktor muka bumi Nepal yang bergunung-ganang. Walaupun pemandangan yang disajikan cantik tapi ia agak menggerunkan sebab rata-ratanya melalui tebing curam. Jadi disebabkan faktor-faktor ini maka tidak hairanlah kalau perjalanan sejauh 200km boleh memakan masa sehingga 6-7 jam.

kedai bakeri yang juga merupakan sebuah restoran

Hampir 7pg barulah kami meninggalkan rooftop untuk mencari sarapan. K bagitau ada sebuah kedai bakeri yang terletak berhampiran guesthouse tapi bila kami sampai kedainya masih tutup. Tak berputus asa kami terus mencari dan bertemu sebuah kedai bakeri yang di luarnya tergantung sebuah papan tanda bertulis "Illy" iaitu sebuah jenama kopi. Barangkali foto di atas boleh dijadikan petunjuk. Dari jauh aku tersenyum lebar sebab dapat menangkap aroma kopi yang baru sahaja di brew. Seperti tagline, "Hari yang hebat bermula dengan secawan kopi", maka aku berharap semoga hari ini adalah permulaan yang baik untuk misi ABC.

Selesai bersarapan kami pun beransur. Aku beli sedikit pastry dan vegetarian pizza untuk bekalan semasa perjalanan nanti. Tapi sebelum sampai ke guesthouse kami singgah di sebuah kedai yang baru saja dibuka. Aku memilih beberapa helai pashmina dan sewaktu membayar barulah aku tersedar yang handphone aku dah hilang. Aku kaget dan terus memeriksa poket baju dan seluar. Alamak takde! Aku mula panik dan terus mencari kalau-kalau terjatuh tetapi hampa.

menu sarapan pagi dan sebahagian pastry yang terdapat di sini

Aku meninggalkan kedai dan berlegar-legar di sepanjang jalan sambil mencari di dalam longkang dan kaki lima. Kedai-kedai yang baru dibuka pun aku tanya tapi semuanya hampa. Aku kembali semula ke kedai bakeri dan mencari. Aduh, parah sangat ni! Sepanjang hayat aku inilah kali pertama dan aku tak pernah hilang benda sepenting ini. Kawan-kawan cuba mendail nombor aku tetapi gagal. Dalam hati mula timbul perasaan syak wasangka dengan orang sekeliling tapi aku tiada bukti. Aku beristighfar banyak-banyak minta disejukkan hati dan lama kelamaan perasaan marah ini bertukar menjadi pasrah. Aku tak tahu di mana salah silapnya. Boleh jadi Tuhan nak menduga aku. Kemudian aku terfikir alangkah beruntungnya aku kerana kejadian ini berlaku semasa aku travel berkumpulan. Bayangkan kalau aku sendirian, bagaimanakah agaknya?

Tanpa membuang masa aku terus pulang ke guesthouse. Bila tiba di guesthouse aku lihat sebuah van sudah menunggu untuk membawa kami ke Pokhara. Sepatutnya kami sudah beredar sejak jam 9 tadi tapi apakan daya. Aku minta maaf kepada semua kerana melengahkan masa. Apa yang berlaku ini sememangnya di luar kemampuanku.

Maka hampir jam 9.30pg barulah kami meninggalkan guesthouse. Dengan hati yang berat aku lihat pekan Thamel sayup-sayup hilang dari pandangan. Perasaan aku bertambah sedih kerana takkan kembali lagi ke sini dan sebaliknya akan terus ke India setelah selesai mendaki. Walau apapun aku berharap biarlah permulaan yang "suey" ini tak berlanjutan sehingga ke Pokhara dan seterusnya India. Biarlah selepas ini semuanya baik-baik belaka.

pagi di pekan Thamel, sebelum kejadian hilang handphone

Perjalanan dari Kathmandu ke Pokhara mengambil masa lebih kurang 6 jam untuk sampai. Kami menyewa sebuah van dari guesthouse. Oleh kerana kami tak terikat dengan pakej agensi jadi semuanya kami buat sendiri. Sewa sebuah van untuk perjalanan sehala dari Kathmandu ke Pokhara adalah USD155 bagi jenis 11 seater. Pada waktu ini kami cuma berenam (tak termasuk seorang driver), jadi ia sangat selesa dan luas untuk kami menyimpan barang keperluan hiking dan backpack setiap seorang.

Tapi kalau budget agak terhad boleh naik tourist bas. Tak silap aku harganya lebih kurang NPR700/USD7 seorang. Kalau bas biasa kosnya jauh lebih murah sebab takde aircond. Tempoh perjalanan agak panjang di antara 6-7 jam bergantung kepada seberapa kerap ia berhenti.

askar Nepal sedang berehat. sebelum tu nampak sekumpulan mereka berkawad kaki di atas highway
Sepanjang perjalanan aku banyak termenung ke luar tingkap. Aku buntu memikirkan bagaimana nak berhubung dengan N dan keluarga. Mesti diaorang risau bila takde update dari aku. Mesti diaorang pikir ada benda buruk jadi kat aku. Aku tak suka bila ada perasaan macam ni. Susah juga bila takde handphone. Tak kisah jenis handphone apa sekalipun, yang penting boleh buat/terima call dan mesej pun jadi lah.

Sampai di R&R aku termenung lagi. Waktu ni Ila tunjuk sekeping gambar yang diambil secara tak sengaja dari kamera. Di dalam gambar tersebut kelihatan handphone aku sedang "terbaring" di atas jalan berhadapan kedai bakeri. Hati aku jadi runtun. Walhal aku lalu lalang depan kedai tu 2-3 kali. Aku masih ingat sebab masa ni kami sedang ralit tengok kereta Kelisa yang lalu di hadapan kedai. Jakun katanya sebab nampak kereta Malaysia. Hmmm...

highway Nepal dan pemandangan yang ditawarkan di sepanjang perjalanan
Kami menyambung semula perjalanan ke Pokhara. Aku tak pasti berapa kali aku bangun dan tidur tapi masih jugak tak sampai. Mood aku yang memang dah kelaut sejak dari awal langsung tak membantu walaupun pemandangan di luar tingkap memukau mata. Sekali-sekala bila melalui sebelah sungai boleh nampak bot rafting. Tapi aku tak pasti level berapa cuma dari mata kasar nampak macam kurang mencabar. Barangkali sebab sungainya lebar, rapid tak banyak dan jarak di antara rapid yang jauh. Pendek kata boleh habiskan sebungkus kuaci sebelum jumpa rapid.

Sebenarnya aku kurang berkenan dengan cara orang di sini memandu. Mereka seboleh-bolehnya nak memotong walaupun di selekoh tajam. Paling mencemaskan bila setiap kali berselisih dengan kenderaan dari hadapan mereka seakan meluru dan sangat rapat. Aku rasa kalau kami tak membebel mungkin driver ni naik sheikh sebab gaya dia macam orang tak pernah jumpa stereng.

Kami tiba di Pokhara sekitar jam 5ptg dan terus mencari guesthouse yang direkomendasi oleh Trip Advisor. Kami memilih Amrit Guesthouse atau nama lainnya Lake City Hotel yang terletak di lakeside yang juga merupakan kawasan CBD (central business district) Pokhara. Aku takde gambar entrance guesthouse tapi landmark yang boleh digunakan ialah mesin atm Standard Chartered dan 2 travel agency yang menggunakan nama "Amrit" yang terletak berhadapan guesthouse dan di hujung jalan sebaris dengan guesthouse. Apapun boleh cuba nama Lake City Hotel sebab ia adalah nama baru guesthouse tersebut yang telah bertukar pengurusan.

Amrit Guesthouse atau Lake City Hotel (sumber : Google)
Di sini kami menginap selama 1 malam sebelum bertolak ke Phedi pada keesokan hari. Rate penginapan untuk sharing basis 3 orang ialah NPR800/USD8 sebilik. Kami juga minta pihak guesthouse menguruskan permit mendaki TIMS dan ACAP serta 2 orang porter yang akan berkhidmat dengan kami selama 9 hari. Kalau nak buat permit sendiri pun ok, boleh terus ke Nepal Tourism Board yang terletak di Pokhara (Pardi Damside).

Berikut ialah panduan harga permit mendaki dan upah porter :
1. Permit TIMS dan ACAP = NPR2000/USD20 setiap satu
2. Upah seorang porter = USD15 sehari (kami dapat USD12 sehari disebabkan off season)

contoh permit ACAP
contoh permit TIMS

Untuk permit TIMS dan ACAP, pihak guesthouse offer USD38 (instead of USD45) sebab amik porter dengan diaorang. Selain itu pihak guesthouse juga membantu menguruskan pengangkutan dari Pokhara ke starting point (Phedi) dengan kos NPR2000/USD20 bagi sebuah van.

Pada malam itu kami berenam makan di sebuah restoran vegetarian yang terletak tidak jauh dari guesthouse. Sewaktu menunggu makanan dihidangkan aku sempat ke kedai outdoor yang terletak bersebelahan dan bertemu seorang pendaki dari Malaysia yang baru selesai melakukan ekspedisi solo. Orangnya masih muda, mungkin di pertengahan 20an. Beliau banyak berkongsi tips dan maklumat berkaitan pendakian dan melalui penceritaannya, puncak base camp masih lagi tebal dilitupi salji. Wah bestnya! Dah lama aku tak main salji sejak 3 tahun yang lepas, mesti seronok.

Jadi selepas makan malam kami terus pulang ke guesthouse untuk mengemas barang. Aku, Ila, K dan TW berkongsi 2 orang porter, manakala yang lain masing-masing pikul sendiri. Mana barang-barang yang kami tak bawa untuk mendaki ditinggalkan di dalam stor guesthouse for free of charge.


Bersambung....
.

6 comments:

aefitbentuah July 11, 2014 at 7:12 PM  

always best.....

simpati juga dgn kejadian hp hilang. Faham perasaan kerana kejadian yg sama berlaku pada saya masa di Chengdu.....

Tak sabo nak tunggu next entry.....

aefitbentuah July 12, 2014 at 8:26 AM  
This comment has been removed by the author.
ummisara July 14, 2014 at 10:03 AM  

sALAM,
sambung-sambung tak sabar nak baca :)

kayrol July 18, 2014 at 3:22 PM  

Bila fatt nak sambung pengalaman waktu mendaki....banyak dapat info ni

Kapten Z August 21, 2014 at 2:17 PM  

catit, angguk, catit, angguk. ooh! Paham!

Post a Comment

Terima kasih!!

  © Copyright Since 2010 | Backpacker Busuk

Back to TOP